India tegaskan tiada kepentingan untuk lemahkan dolar AS
Bernama
Mac 6, 2025 10:20 MYT
Mac 6, 2025 10:20 MYT
Jaishankar (kanan) berjabat tangan dengan Menteri Luar Britain David Lammy ketika mengadakan mesyuarat dua hala di Chevening House, Sevenoaks, England, 5 Mac 2025. (Foto AP)
NEW DELHI: India menegaskan bahawa negara itu tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk melemahkan dominasi antarabangsa dolar Amerika, susulan amaran berulang kali Presiden Donald Trump kepada kumpulan BRICS agar tidak mewujudkan mata wang bersama.
"Kami sama sekali tidak berminat untuk melemahkan dolar," kata Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar ketika sesi interaksi di badan pemikir hal ehwal luar, Chatham House di London pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa India bersikap realistik terhadap peranan global dolar AS.
"Kami tidak pernah mempunyai masalah dengan dolar. Hubungan kami dengan AS berada pada tahap terbaik dalam sejarah," katanya.
BRICS, akronim bagi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini mempunyai 10 anggota selepas pengembangannya pada 2023, mewakili gabungan ekonomi selain Barat yang kukuh serta memiliki populasi yang besar.
Beberapa anggota BRICS pernah menyuarakan minat terhadap idea mata wang bersama, memandangkan kumpulan itu sering dilihat sebagai pengimbang kepada dominasi Barat dalam landskap dunia yang semakin multipolar.
Pada 13 Februari lalu, Trump mengancam untuk mengenakan penalti terhadap anggota BRICS "jika mereka mahu bermain dengan mata wang AS."
"Jika terdapat sebarang perdagangan yang menggunakan mata wang lain, ia akan dikenakan tarif 100 peratus, sekurang-kurangnya," kata Trump.
Jaishankar menyifatkan dolar AS sebagai sumber kestabilan ekonomi antarabangsa sambil menegaskan bahawa India tidak mempunyai sebarang dasar untuk menggantikan dolar.
"Anggapan bahawa terdapat pendirian bersama BRICS menentang dolar tidak berasas," katanya.
Sementara itu, India giat memperkukuh profil rupee dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan menggalakkan penggunaan mata wang negara itu bagi penyelesaian perdagangan dengan pelbagai negara termasuk Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Malaysia.
Jaishankar berkata usaha mempromosikan "pengantarabangsaan rupee" adalah sebahagian daripada "globalisasi India."
-- BERNAMA