India tarik diri daripada RCEP susulan bimbang potensi kejutan ekonomi - Pakar Ekonomi IHS Markit

Bernama
November 5, 2019 17:45 MYT
Perjanjian RCEP setakat ini melibatkan 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. - Gambar fail
Keputusan India untuk tidak menyertai perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang secara signifikan mengurangkan skala kawasan perdagangan bebas itu, mencerminkan kebimbangan tempatan berhubung potensi kejutan ekonomi kepada industri India berbanding menghapuskan halangan tarif bagi perdagangan dengan negara anggota yang lain, menurut pakar ekonomi.
Ketua Pakar Ekonomi IHS Markit bagi Asia Pasifik Rajiv Biswas, berkata parti politik dan kumpulan industri menyatakan kebimbangan khususnya mengenai kesan yang berpotensi daripada langkah menghapuskan halangan tarif untuk perdagangan dengan China.
"India bimbang bahawa banyak sektor industri tempatan tidak dapat bersaing secara efektif dengan sektor pembuatan China," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menyatakan bahawa tidak seperti ASEAN, India tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan China.
"Kerajaan India memutuskan bahawa kos ekonomi dan politik secara keseluruhannya dalam menghapuskan halangan perdagangan dua hala dengan China jauh lebih penting daripada manfaat ekonomi," katanya.
BACA: 15 negara muktamadkan rundingan RCEP tanpa India
Beliau berkata defisit perdagangan dua hala India dengan China adalah AS$58 bilion (US$1=RM4.14) pada 2018, terutamanya disebabkan oleh ketidakseimbangan yang besar dalam perdagangan dalam pembuatan.
Menurut Biswas, kerajaan India bimbang bahawa penghapusan halangan tarif ke atas import China akan terus mengurangkan pasaran saham pembuatannya ketika ia berusaha untuk meningkatkan sektor itu melalui dasar "Make in India 2025" yang dipimpin oleh Perdana Menteri Narendra Modi.
Beliau juga menyatakan bahawa sektor pembuatan India telah menghadapi cabaran yang besar pada tahun ini, dengan industri auto India berhadapan krisis yang teruk disebabkan oleh penurunan penjualan kenderaan.
"Oleh itu, industri India telah meningkatkan kebimbangan mengenai kesan negatif yang berpotensi terhadap perjanjian RCEP ke atas perkongsian pasaran tempatan mereka sendiri," katanya.
Berhubung pengurangan kawasan perdagangan bebas RCEP tanpa penyertaan India, Biswas berkata India telah menjadi ekonomi AS$3 trilion yang bersamaan dengan saiz gabungan 10 negara anggota ASEAN.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan kemungkinan India akan berunding bagi tarikh kemasukan lebih lewat dalam RCEP bagi membolehkan tempoh peralihan lebih panjang untuk industri India menyesuaikan diri dengan peraturan perdagangan yang baharu.
"Banyak negara anggota yang lain mahu India menjadi anggota RCEP, terutamanya sejak India, yang kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia, akan meningkatkan faedah perdagangan dan pelaburan untuk jangka panjang dalam perjanjian RCEP," katanya.
Biswas percaya perjanjian RCEP akan menjadikan perdagangan lebih mudah di rantau Asia Pasifik ketika perdagangan serantau telah menerima kesan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat-China.
Perjanjian itu, yang dijangka ditandatangani oleh kerajaan-kerajaan pada Februari 2020, menyediakan inisiatif positif yang akan meningkatkan aliran pelaburan dalam kalangan negara peserta, katanya.
Perjanjian RCEP setakat ini melibatkan 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
-- BERNAMA
#China #ekonomi #IHS Markit #India #perdagangan #Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau #RCEP #sektor pembuatan
;