India tandatangani perjanjian dengan AS untuk pembelian 31 dron bersenjata
Bernama
Oktober 15, 2024 21:46 MYT
Oktober 15, 2024 21:46 MYT
NEW DELHI: Kementerian Pertahanan India pada Selasa menandatangani perjanjian dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk memperoleh 31 dron bersenjata yang dihasilkan oleh General Atomics Aeronautical Systems.
Pemerolehan dron MQ-9B SkyGuardian dan SeaGuardian High Altitude Long Endurance (HALE) secara signifikan meningkatkan pemantauan maritim tanpa pemandu dan rondaan peninjauan India.
Menurut Kementerian Pertahanan India, satu lagi kontrak telah ditandatangani dengan General Atomics Global India Pvt Ltd untuk menyediakan perkhidmatan logistik dan penyelenggaraan bagi dron itu.
Kerajaan AS meluluskan penjualan dron MQ-9B yang canggih kepada India pada Februari dalam perjanjian bernilai hampir AS$4 bilion.
Pakej itu termasuk 31 sistem pesawat kawalan jauh, 170 peluru berpandu AGM-114R Hellfire, 310 bom berdiameter kecil GBU-39B, serta peralatan berkaitan, menurut kenyataan pada Februari oleh Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan Pentagon.
-- BERNAMA