India sekat saluran TV popular perantau India di wilayah Teluk Arab

Bernama
Februari 8, 2022 05:50 MYT
Mahkamah berkata terdapat maklumat risikan keselamatan yang mewajarkan saluran itu dinafikan hak penyiaran. - Gambar hiasan
NEW DELHI: Kerajaan India telah mengharamkan saluran televisyen popular berbahasa Malayalam dalam kalangan masyarakat India di negara-negara Teluk Arab yang berasal dari negeri Kerala.
Mahkamah Tinggi Kerala pada Selasa mengekalkan perintah terbaharu yang diluluskan Kementerian Penerangan dan Penyiaran persekutuan bagi membatalkan lesen saluran berita MediaOne.
Madhyamam Broadcasting Limited, pengendali saluran berita MediaOne merayu kepada mahkamah berhubung tindakan kementerian itu.
Mahkamah berkata terdapat maklumat risikan keselamatan yang mewajarkan saluran itu dinafikan hak penyiaran.
Ketua pengarang kumpulan Madhyamam, O. Abdurahiman berkata tindakan kementerian pada 31 Jan memberi alasan atas faktor keselamatan untuk menafikan lesen pautan naik saluran itu.
"Kami telah menghentikan siaran mulai hari ini. Kami akan merayu keputusan mahkamah," katanya kepada Bernama pada Selasa.
"Kami merupakan antara saluran televisyen terkemuka Kerala. Kami adalah nombor satu antara semua saluran di rantau negara-negara Teluk Arab yang ditonton bukan pemastautin (NRI) dari Kerala," tambahnya.
MediaOne menggaji 300 wartawan dan pekerja lain.
Kira-kira 8.5 juta pekerja India bekerja di Asia Barat (Timur Tengah) dan sebahagian besarnya berasal dari Kerala.
Saluran itu memaparkan isu berkaitan komuniti Islam dan melaporkan secara meluas mengenai keganasan komunal (rusuhan kaum) di timur laut Delhi pada Februari 2020.
-- BERNAMA
#hak penyiaran #Mahkamah Tinggi Kerala #batal lesen #stesen TV India
;