India rekod kes virus mpox

Agensi
September 9, 2024 09:30 MYT
Kementerian Kesihatan India merekodkan kes disyaki mpox yang dikesan pada seorang lelaki yang baru-baru ini mengembara dari negara yang mengalami wabak virus itu. - Gambar Reuters
NEW DELHI: Kementerian Kesihatan India merekodkan kes disyaki mpox yang dikesan pada seorang lelaki yang baru-baru ini mengembara dari negara yang mengalami wabak virus itu.
Menurut laporan, pesakit itu telah diasingkan di hospital dan berada dalam keadaan stabil, kata kementerian itu.
Kementerian juga tidak menyatakan jenis virus mpox yang mungkin dihidapi pesakit, tetapi ujian sedang dijalankan untuk mengesahkan jangkitan itu.
Mpox boleh merebak melalui hubungan rapat. Biasanya ringan, namun, ia boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku.
Jangkitan itu akan menyebabkan simptom seperti selesema dan lepuh pada badan.
"Kes ini diuruskan selaras dengan protokol yang ditetapkan dan pengesanan kenalan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber yang berpotensi dan menilai kesan dalam negara," kata kementerian itu.
Bulan lalu, akhbar harian The Hindu melaporkan India telah berjaga-jaga sejak kuman baharu menjadi ganas di Afrika.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa selepas varian baharu itu dikenal pasti.
India mengesan 30 kes strain yang lebih tua, yang dikenali sebagai clade 2, antara 2022 dan Mac 2024. - Agensi
#virus mpox #India #Kementerian Kesihatan India #WHO
;