India peruntuk AS$70 bilion untuk ketenteraan dalam belanjawan baharu

Bernama
Februari 2, 2022 14:31 MYT
Kerajaan India komited mengurangkan import dan menggalakkan keyakinan terhadap senjata buatan tempatan untuk tentera, kata Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman dalam pembentangan bajetnya di Parlimen. - Gambar fail/REUTERS
NEW DELHI: India, pada Selasa memperuntukkan 5.25 trilion rupee (kira-kira AS$70.1 bilion) kepada Kementerian Pertahanannya dalam pembentangan bajet negara 2022-23.
Lebih daripada AS$20 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan modal, termasuk pembelian senjata dan peralatan.
Sektor pertahanan negara itu menerima suntikan AS$65.4 bilion dalam bajet 2021-22.
Kerajaan komited mengurangkan import dan menggalakkan keyakinan terhadap senjata buatan tempatan untuk tentera, kata Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman dalam pembentangan bajetnya di Parlimen.
Dalam pelan rangsangan terhadap pembuatan senjata ketenteraan tempatan, 68 peratus daripada bajet perolehan modal akan diperuntukkan bagi industri domestik pada 2022-23 berbanding hanya 58 peratus pada 2021-22.
Sektor swasta digalak menggunakan reka bentuk, pembangunan platform dan peralatan ketenteraan dengan kerjasama Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) yang dikendalikan kerajaan dan agensi lain melalui usaha sama.
Antara cadangan lain dalam bajet itu, Sitharaman berkata bank pusat akan mengeluarkan mata wang digital menggunakan teknologi blockchain.
Bank Rizab India menerusi digital rupee akan memberi suntikan rangsangan besar kepada ekonomi digital serta membawa kepada sistem pengurusan mata wang yang lebih cekap dan murah, katanya.
Jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan pada 2022-23 dianggarkan AS$527.5 bilion dan jumlah penerimaan, tidak termasuk pinjaman, dijangka mencecah AS$305.3 bilion.
Defisit fiskal bagi tahun ini dianggarkan mencapai 6.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding anggaran tahun semasa sebanyak 6.9 peratus.
-- BERNAMA
#India #bajet pertahanan #Belanjawan India #Nirmala Sitharaman
;