India pertingkat usaha pindahkan warga di Sudan susulan lanjutan gencatan senjata
Bernama
April 26, 2023 14:10 MYT
April 26, 2023 14:10 MYT
NEW DELHI: India telah meningkatkan usaha untuk memindahkan warganya yang terkandas di Sudan, susulan lanjutan gencatan senjata antara Angkatan Bersenjata Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang memberontak.
Kumpulan pertama 278 warga India tiba di pelabuhan Jeddah Arab Saudi dari Port Sudan menaiki kapal peronda luar pesisir Tentera Laut India INS Sumedha, kata pegawai India pada malam Selasa.
Dua pesawat tentera C-130 India kemudiannya membawa 283 orang lagi ke Jeddah dari Port Sudan.
Pihak berkuasa India telah menubuhkan kemudahan transit di bandar Jeddah untuk menerima mangsa yang dipindahkan sebelum meneruskan perjalanan mereka ke India.
India juga telah mengerahkan kapal frigat INS Teg untuk pemindahan selanjutnya dari Port Sudan.
Kapal berkenaan tiba di Sudan bersama pegawai dan bekalan bantuan untuk warga India yang terkandas, kata jurucakap Kementerian Luar India.
Dianggarkan 3,000 warga India berada di Sudan ketika pertempuran tercetus pada 15 April.
Warga asing meninggalkan Khartoum dan zon konflik lain beramai-ramai mengambil kesempatan daripada gencatan itu.
Sementara itu, lebih 1,600 warga Turki meninggalkan Sudan ke Ethiopia, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Penerbangan pemindahan pertama United Kingdom dari Sudan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Larnaca di Cyprus pada Selasa dan lebih banyak penerbangan telah dirancang, lapor BBC.
Kementerian Luar Pakistan berkata 700 warga Pakistan tiba di Port Sudan pada Selasa untuk pemindahan.
Tentera Sudan, yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah Burhan dan RSF yang terdiri daripada puluhan ribu pejuang yang diketuai oleh Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, melanjutkan gencatan senjata selama 72 jam lagi bermula Selasa.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), pertempuran menyebabkan orang awam kehilangan tempat tinggal di banyak kawasan dan harga barangan keperluan meningkat.
"Selepas sepuluh hari pertempuran, kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api meruncing, terutama di Khartoum dan kawasan sekitarnya," katanya pada Selasa.
-- BERNAMA