India, Pakistan saling bertukar senarai kemudahan nuklear, banduan
Bernama
Januari 1, 2023 21:10 MYT
Januari 1, 2023 21:10 MYT
NEW DELHI: India dan Pakistan saling bertukar senarai kemudahan nuklear serta banduan awam dan nelayan yang berada dalam tahanan masing-masing, kata pihak berkuasa India pada Ahad.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India, New Delhi dan Islamabad bertukar-tukar senarai pemasangan dan kemudahan nuklear mengikut Perjanjian Larangan Serangan terhadap Pemasangan dan Kemudahan Nuklear antara kedua-dua negara, lapor Agensi Anadolu.
Perjanjian 1988 memerlukan India dan Pakistan memaklumkan satu sama lain tentang pemasangan dan kemudahan nuklear mereka pada 1 Jan setiap tahun.
"Ini adalah pertukaran senarai ke-32 berturut-turut antara kedua-dua negara sejak pertukaran pertama pada 1 Jan 1992," menurut kementerian itu.
Sementara itu, India turut menyerahkan senarai 339 banduan awam Pakistan dan 95 nelayan Pakistan yang kini dalam tahanan India.
Pakistan pula berkongsi senarai 51 banduan awam dan 654 nelayan dalam tahanannya, terdiri warga India atau dipercayai warga India.
Senarai itu dikongsi serentak melalui saluran diplomatik di New Delhi dan Islamabad.
Mengikut perjanjian 2008, kedua-dua negara dikehendaki menukar senarai banduan dalam tahanan masing-masing dua kali setahun -- pada 1 Jan dan 1 Julai.
Bagi pihak India negara itu menggesa pembebasan awal dan penghantaran pulang "banduan awam, anggota pertahanan India yang hilang dan nelayan bersama bot mereka" daripada tahanan Pakistan.
"Dalam konteks ini, Pakistan diminta menyegerakan pembebasan dan penghantaran pulang 631 nelayan India dan dua banduan awam India yang telah menamatkan hukuman mereka dan kewarganegaraan mereka telah disahkan dan dihantar ke Pakistan.
"Selain itu, Pakistan telah diminta memberikan akses konsular segera ke atas baki 30 nelayan dan 22 banduan awam dalam tahanan Pakistan yang dipercayai warga India," menurut kementerian itu.
Hubungan antara kedua-dua negara berambah meruncing selepas Ogos 2019 apabila India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang telah lama wujud, mengakibatkan Islamabad menurunkan hubungan diplomatiknya dengan New Delhi.
Hubungan tegang antara kedua-dua jiran itu menyebabkan banduan menjalani hukuman penjara untuk tempoh lebih lama termasuk mereka yang telah tamat hukuman.
Kedua-dua negara sering menahan nelayan kerana melanggar sempadan laut masing-masing memandangkan sempadan yang tidak ditandakan dengan baik dan bot yang tidak lengkapi teknologi untuk menentukan lokasi tepat.
-- BERNAMA