India nasihat rakyatnya elak perjalanan ke Ukraine

Bernama
Oktober 20, 2022 12:00 MYT
Warganegara India, termasuk pelajar yang kini berada di Ukraine dinasihatkan supaya segera meninggalkan Ukraine menggunakan apa sahaja cara yang ada. - Fail/AP
NEW DELHI: India pada Rabu meminta rakyatnya mengelak perjalanan ke Ukraine berikutan "keadaan keselamatan yang semakin merosot" di negara itu yang kini berperang dengan Rusia sejak Februari.
"Memandangkan keadaan keselamatan yang semakin merosot susulan permusuhan yang semakin meluas di seluruh Ukraine, warga India dinasihatkan supaya tidak ke Ukraine," Agensi Anadolu melaporkan nasihat yang dikeluarkan oleh Kedutaan India di Kyiv melalui Twitter.
"Pada masa yang sama warganegara India, termasuk pelajar yang kini berada di Ukraine dinasihatkan supaya segera meninggalkan Ukraine menggunakan apa sahaja cara yang ada," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan apabila Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah Donetsk, Kherson, Luhansk, dan Zaporizhzhia, yang baru-baru ini keluar dari Ukraine dalam pungutan suara yang tidak diiktiraf, katanya.
Tentera Kyiv semakin mara sejak beberapa minggu kebelakangan ini, manakala Moscow memanggil lebih ramai anggota simpanan dan melancarkan serangan baharu di Ukraine, termasuk ibu kota Kyiv, berikutan letupan di jambatan strategik yang menghubungkan Rusia dengan Crimea, yang diilhakkannya secara haram pada 2014.
-- BERNAMA
#perang Ukraine Rusia #nasihat perjalanan #rakyat india #Vladimir Putin
;