India muncul negara ketiga tertinggi dunia kes COVID-19
Agensi
Julai 6, 2020 19:40 MYT
Julai 6, 2020 19:40 MYT
India menjadi negara ketiga tertinggi di dunia dengan kes COVID-19, mengatasi Rusia selepas merekodkan sebanyak 24,248 lagi kes baharu pada Isnin.
Setakat ini, India sudah mengesahkan 697,413 kes dan meninggalkan Rusia di belakang yang mempunyai 680,283 jumlah kes positif COVID-19.
Amerika Syarikat masih kekal sebagai negara tertinggi di dunia dengan melaporkan hampir 2.9 juta kes diikuti Brazil yang sudah mencatatkan lebih 1.6 juta keseluruhan.
Berikutan itu, New Delhi membuka sebuah kemudahan khas merawat pesakit COVID-19 yang dilengkapi 10,000 katil yang akan dikendalikan pasukan separa tentera Indo-Tibet Border Police (ITBP).
Pihak berkuasa India pada Ahad malam menarik balik rancangan pembukaan semula monumen Taj Mahal yang terkenal setelah kes baharu dikesan di kawasan itu.
Setelah penutupan ketat di seluruh negara dilakukan, India ambil keputusan dengan mengurangkan sekatan di kebanyakan kawasan kecuali kawasan atau daerah yang berisiko tinggi.