India kenakan 20 peratus duti eksport ke atas beras rebus
Astro Awani
Ogos 28, 2023 11:00 MYT
Ogos 28, 2023 11:00 MYT
NEW DELHI: Kerajaan Persekutuan India menetapkan duti eksport sebanyak 20 peratus ke atas beras rebus atau parboil berkuat kuasa pada Ahad.
Arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan itu bertujuan untuk menyemak kenaikan harga serta memastikan bekalan dalam negara mencukupi.
Pelaksanaan duti ke atas eksport varieti rebus itu berkemungkinan akan melonjakkan lagi harganya di peringkat global.
Bulan lalu, India mengejutkan pembeli dengan mengenakan larangan ke atas eksport beras putih bukan Basmati yang digunakan secara meluas, berikutan larangan eksport beras hancur tahun lalu.
menurut peniaga berpangkalan di Mumbai, larangan itu mendorong beberapa pembeli meningkatkan pembelian beras rebus dan menaikkan harganya ke paras tertinggi.
Peniaga berkata, dengan perkembangan terbaharu itu, beras rebus India akan menjadi semahal bekalan dari Thailand dan Pakistan, sekali gus menyebabkan pembeli tiada pilihan selain menghadapinya dengan bijak.
India mengeksport 7.4 juta tan beras rebus sepanjang tahun lalu.
Pada Julai lalu, indeks harga beras Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun selepas India mengenakan sekatan ke atas eksport makanan ruji itu.
India menyumbang lebih daripada 40 peratus eksport beras dunia dan inventori yang rendah serta pemotongan penghantaran boleh meningkatkan harga makanan yang sudah didorong oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
Menurut syarikat perdagangan global di New Delhi, India kini turut mengenakan sekatan ke atas semua jenis beras bukan Basmati yang biasanya disukai pengguna miskin di Afrika dan Asia.
Harga beras global sudah mula sederhana sejak beberapa hari lalu selepas meningkat lebih 25 peratus ekoran sekatan yang dikenakan India bulan lepas.
Bagaimanapun, harga dijangka kembali meningkat semula dalam tempoh terdekat.