India kekal negara paling ramai penduduk abad ini - PBB
Bernama
Julai 12, 2024 17:43 MYT
Julai 12, 2024 17:43 MYT
NEW DELHI: India dijangka kekal sebagai negara paling ramai penduduk di dunia dan berdepan tekanan ekonomi dan alam sekitar, menurut laporan World Population Prospects 2024 yang diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.
India memintas China sebagai negara paling ramai penduduk pada tahun lalu.
Menurut laporan itu, populasi di India dijangka kekal sebagai terbesar di dunia sepanjang abad ini dan dijangka menurun sebanyak 12 peratus selepas mencapai kemuncaknya sekitar awal 2060-an dengan kira-kira 1.7 bilion penduduk.
Populasi India pada 2024 dianggarkan mencecah 1.45 bilion berbanding 1.41 bilion di China.
Menurut unjuran PBB, menjelang 2054, India akan menjadi tempat tinggal bagi kira-kira 1.69 bilion orang manakala populasi China akan menyusut kepada 1.21 bilion.
Populasi China pada 2100 diunjurkan sekitar 633 juta.
Bangladesh, Indonesia, Maghribi, Peru dan Filipina adalah antara negara yang dijangka mengalami penurunan populasi pada separuh kedua abad ke-21.
Cabaran utama bagi negara-negara yang menyaksikan pertumbuhan penduduk yang pesat adalah bagaimana mengurangkan impak alam sekitar pada masa hadapan sambil memenuhi keperluan penduduk mereka.
"Kerosakan alam sekitar selalunya timbul hasil daripada aktiviti ekonomi yang membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi.
"Peningkatan populasi pula memberi tekanan terhadap alam sekitar susulan peningkatan permintaan ekonomi secara keseluruhan," menurut laporan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB (DESA) pada Hari Populasi Sedunia.
Populasi dunia dijangka terus meningkat dalam tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang, mencapai kemuncak sekitar 10.3 bilion orang pada pertengahan 2080-an, meningkat daripada 8.2 bilion pada 2024.
Penduduk di 63 negara dan kawasan termasuk China, Jerman, Jepun dan Rusia telah memuncak dan diramalkan menurun sebanyak 14 peratus bagi tempoh 30 tahun akan datang.
Sementara itu, Angola, Afrika Tengah, Congo, Niger dan Somalia, jumlah populasi dijangka berganda menjelang 2054.
Di Nigeria, Pakistan dan Amerika Syarikat, jumlah penduduk juga dijangka meningkat menjelang 2054 dan mungkin mencapai kemuncaknya pada separuh kedua abad ini atau lebih lewat.
Menurut kajian PBB, purata umur penduduk di seluruh dunia juga meningkat dengan bilangan mereka yang berusia 65 tahun ke atas diunjurkan melebihi golongan 18 tahun ke bawah menjelang akhir 2070-an.
-- BERNAMA