India haramkan penggunaan TikTok, WeChat
Hakim Rahman
Jun 30, 2020 10:07 MYT
Jun 30, 2020 10:07 MYT
Kerajaan India mengharamkan aplikasi TikTok dan berpuluh lagi aplikasi lain buatan China dengan alasan ia mendatangkan bahaya kepada negara itu.
Pengharaman dibuat selepas Kementerian Teknologi Maklumat India menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai aplikasi yang didakwa mengambil data secara tidak sah.
Ia juga mendakwa aplikasi seperti TikTok memudaratkan kedaulatan dan integriti India, keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.
"Pengumpulan, perlombongannya dan pemprofilan data itu mempunyai elemen yang boleh menjejaskan keselamatan dan pertahanan negara India.
"Ia akhirnya boleh mengugat kedaulatan dan integriti India dan hal ini memerlukan langkah kecemasan segera," kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhanya, 59 aplikasi China diharamkan, termasuk aplikasi permesejan popular WeChat.
India merupakan pasaran asing terbesar TikTok dengan anggaran lebih 120 juta pengguna.
Aplikasi yang semakin popular itu bagaimanapun berdepan tuduhan mengambil data pengguna yang dikongsi bersama kerajaan China.
Aplikasi TikTok yang dibangunkan syarikat ByteDance berpangkalan di Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
#Beijing
#ByteDance
#China
#India
#integriti
#kedaulatan dan integriti India
#Kementerian Teknologi Maklumat India
#TikTok
#WeChat