India hantar dua pesawat tentera ke Arab Saudi untuk pindahkan rakyatnya yang terkandas di Sudan
Bernama
April 23, 2023 04:30 MYT
April 23, 2023 04:30 MYT
NEW DELHI: India menghantar dua pesawat tentera ke Jeddah, Arab Saudi dan sebuah kapal ke Pelabuhan Sudan untuk memindahkan rakyat India yang terkandas di Sudan.
Dianggarkan seramai 3,000 rakyat India terkandas ekoran pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang masih berlaruran.
Menurut Kementerian Luar India, kementerian telah berhubung dengan pihak berkuasa Sudan serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan dan keselamatan rakyat India di Sudan.
"Sebagai sebahagian daripada persiapan kami dan untuk tindakan yang pantas, kerajaan India sedang mengusahakan pelbagai pilihan yang ada. Dua pesawat C-130J Tentera Udara India kini bersiap sedia di Jeddah. Dan, kapal INS Sumedha telah pun tiba di Pelabuhan Sudan.
"Pelan kontingensi telah disediakan tetapi sebarang pergerakan di darat akan bergantung kepada situasi keselamatan di pelbagai lokasi di Khartoum. Ruang udara Sudan buat masa ini masih ditutup untuk semua pesawat asing. Pergerakan darat juga mempunyai risiko dan cabaran logistik," menurut kenyataan kementerian itu pada Ahad.
Lebih 400 orang terbunuh manakala 3,550 lagi cedera sejak pertempuran antara tentera dan militia bermula pada 15 April lalu.
Jepun dan Korea Selatan sudah menghantar pesawat tentera ke Djibouti untuk memindahkan rakyat mereka.
-- BERNAMA