India desak Google banteras aplikasi pinjaman wang haram

Astro Awani
September 20, 2022 08:30 MYT
Antara langkah yang sudah diambil Google termasuk menambah syarat bagi pembangunan aplikasi pinjaman peribadi di India yang berkuat kuasa pada September 2021. - Gambar hiasan
MUMBAI: Kerajaan India dan bank pusat negara itu mendesak Google supaya melaksanakan pemantauan lebih ketat untuk mengekang kemunculan pelbagai aplikasi pinjaman wang digital yang tidak sah di negara itu.
Reuters melaporkan, walaupun Google tidak berada di bawah perhatian Bank Rizab India, syarikat gergasi teknologi itu sudah beberapa kali dipanggil dalam tempoh beberapa bulan lalu dalam mesyuarat bersama bank pusat dan pihak pemerintah.
Perjumpaan itu antara lain mahu memperkasa langkah pemantauan dan penilaian yang membantu membanteras aplikasi seumpamanya.
Pihak berkuasa India sebelum ini sudah memberi amaran kepada pihak peminjam wang supaya memastikan supaya operasi mereka mengikut prosedur yang betul dan tidak menggunakan aplikasi pinjaman haram.
Aplikasi berkenaan meningkat popular ketika pandemik, apabila ramai orang yang terdesak mahu menggunakan wang.
Bagaimanapun, terlalu banyak aduan diterima tentang urusan pinjaman yang akhirnya menjerat diri peminjamnya. Antara yang sering menjadi isu adalah mengenai kadar fi dan bunga yang terlalu tinggi, struktur pembayaran yang tidak mengikut garis panduan bank pusat, melakukan aktiviti pengubahan wang haram serta melanggar undang-undang kerajaan.
Google menjelaskan, pada tahun lalu pihaknya sudah menilai semula polisi pembangun Play Store bagi aplikasi perkhidmatan kewangan.
Antara langkah yang sudah diambil termasuk menambah syarat bagi pembangunan aplikasi pinjaman peribadi di India yang berkuat kuasa pada September 2021.
“Kami telah mengekang lebih 2,000 aplikasi pinjaman wang peribadi di Play Store yang menyasarkan India, kerana melanggar syarat.
“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dan badan industri untuk membantu dalam isu ini,” kata jurucakap Google.
Sementara bank pusat India menetapkan setiap aplikasi pinjaman wang perlu disokong entiti yang sah, penguatkuasaan dan pematuhan perlu juga dilakukan oleh Google.
#pinjaman wang haram #aplikasi digital #Google #India
;