India denda Meta AS$25.4 juta kerana amalan perniagaan tidak adil

Bernama
November 19, 2024 09:30 MYT
Suruhanjaya Persaingan India mengarahkan Meta agar WhatsApp tidak berkongsi data pengguna dengan syarikat atau produk lain dalam kumpulan teknologi AS itu untuk tujuan pengiklanan selama lima tahun.
NEW DELHI: India mengenakan denda 2,131 juta rupee (AS$25.4 juta) terhadap syarikat induk Facebook, Meta, kerana amalan perniagaan tidak adil dan mengarahkan syarikat itu agar tidak berkongsi data pengguna WhatsApp dengan platform lain dalam kumpulan teknologi Amerika Syarikat (AS) berkenaan.
Suruhanjaya Persaingan India mengarahkan Meta agar WhatsApp tidak berkongsi data pengguna dengan syarikat atau produk lain dalam kumpulan teknologi AS itu untuk tujuan pengiklanan selama lima tahun.
Isu itu berkaitan dengan dasar privasi WhatsApp 2021, yang dilaksanakan dengan pendekatan "terima atau tinggalkan", menurut kenyataan suruhanjaya pada Isnin.
Pengguna aplikasi pesanan itu diwajibkan menerima terma kemas kini untuk terus menggunakan perkhidmatan itu, yang dianggap sebagai penyalahgunaan kedudukan dominan Meta, kata suruhanjaya berkenaan.
Sebelum dasar privasi yang dikemas kini pada 2021, pengguna WhatsApp diberi pilihan untuk memutuskan sama ada mereka mahu berkongsi data mereka dengan Facebook.
Namun, WhatsApp menjadikan perkongsian data dengan Meta wajib untuk semua pengguna di bawah terma perkhidmatan yang baharu, menurut suruhanjaya itu.
Suruhanjaya itu juga menyatakan bahawa perkongsian data pengguna yang dikumpulkan di WhatsApp dengan syarikat lain di bawah Meta untuk tujuan selain menyediakan perkhidmatan WhatsApp "tidak akan dijadikan syarat untuk pengguna mengakses perkhidmatan WhatsApp di India." - BERNAMA
#India denda Meta #Suruhanjaya Persaingan India #WhatsApp #dasar privasi WhatsApp
;