India benar eksport beras ke Singapura
Bernama
Ogos 30, 2023 15:04 MYT
Ogos 30, 2023 15:04 MYT
NEW DELHI: India akan membenarkan eksport beras ke Singapura walaupun terdapat larangan terhadap perdagangan beberapa varieti bagi mengawal harga domestik.
Kerajaan melarang eksport beras hancur pada September tahun lalu dan pada 20 Julai mengharamkan eksport beras putih bukan basmati.
Pada 27 Ogos larangan dilanjutkan untuk menguatkuasakan sekatan eksport yang lebih ketat berbanding yang diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun, India akan membenarkan eksport beras ke Singapura kerana hubungan yang "sangat strategik" dengan negara itu.
"Memandangkan hubungan istimewa itu, India telah memutuskan untuk membenarkan eksport beras bagi memenuhi keperluan keterjaminan makanan Singapura. Arahan rasmi berhubung perkara ini akan dikeluarkan tidak lama lagi," kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India Arindam Bagchi pada Selasa.
Langkah India itu telah menyebabkan kenaikan harga beras global, tetapi kerajaan peka terhadap inflasi makanan tempatan akibat implikasi pilihan raya dan keterjaminan makanan.
-- BERNAMA