India-Bangladesh akan mulakan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan
Bernama
Jun 22, 2024 05:20 MYT
Jun 22, 2024 05:20 MYT
NEW DELHI: India dan Bangladesh akan memulakan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) ketika kedua-dua negara jiran berusaha mengukuhkan hubungan sebagai sebahagian daripada "visi bersama" untuk masa depan.
Setiausaha Luar India, Vinay Mohan Kwatra berkata, kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan awal untuk memulakan proses perjanjian perdagangan bebas.
"Kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan teknikal awal untuk memahami dengan lebih baik bagaimana mereka mahu menetapkan set barangan masing-masing, mungkin juga perkhidmatan dan langkah-langkah berkaitan fasilitasi perdagangan lain dalam CEPA. Sebaik sahaja senarai awal ini dianalisis dengan teliti, rundingan CEPA akan dimulakan pada tarikh awal," kata Kwatra.
Sepuluh perjanjian ditandatangani pada Sabtu semasa lawatan negara Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina ke India.
Ia meliputi bidang seperti perikanan, teknologi digital, telekomunikasi, pengurusan bencana dan penjagaan kesihatan.
Satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Kolej Staf Perkhidmatan Pertahanan di Wellington, selatan India dan Kolej Staf Komando dan Perkhidmatan Pertahanan di Mirpur, Bangladesh, untuk kerjasama dalam bidang pendidikan ketenteraan.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Hasina mengadakan perbincangan mengenai pelbagai perkara dua hala termasuk tenaga, pengangkutan, perkongsian air sungai serta kerjasama serantau dan isu global.
Kejadian tembakan oleh pengawal sempadan yang menyebabkan kematian dan kecederaan di kedua-dua belah pihak serta masalah Rohingya, turut dibincangkan.
Mengenai pembunuhan kejam ahli parlimen parti pemerintah Bangladesh, Anwarul Azim Anar, yang melawat India bulan lepas, Setiausaha Luar India berkata agensi penguatkuasaan undang-undang dari kedua-dua negara sedang bekerjasama dalam siasatan dan maklumat yang diperlukan sedang ditukar.
"Kerajaan dari pihak kami memberikan segala sokongan yang mungkin kepada pihak Bangladesh," kata Kwatra. - BERNAMA