Imran Khan janji tadbir Pakistan sebagai 'Negara Kebajikan Islam'

Agensi
Ogos 21, 2018 01:24 MYT
Menerusi ucapan pertama beliau yang disiarkan ke seluruh negara sehari selepas mengangkat sumpah, Imran menegaskan bahawa pemotongan perbelanjaan kerajaan perlu dilakukan dalam usaha mengawal defisit fiskal. -Reuters
Perdana Menteri baharu Pakistan, Imran Khan berjanji akan mentadbir negara itu sebagai 'Negara Kebajikan Islam' seperti yang dilakukan Nabi Muhammad SAW di Madinah pada abad ke-7.
Ia termasuk membanteras rasuah dan memulakan langkah penjimatan untuk mengurangkan hutang negara.
Menerusi ucapan pertama beliau yang disiarkan ke seluruh negara sehari selepas mengangkat sumpah, Imran menegaskan bahawa pemotongan perbelanjaan kerajaan perlu dilakukan dalam usaha mengawal defisit fiskal.
“Saya akan memastikan rakyat memberi kepercayaan bahawa pentadbiran baharu ini akan melindungi wang cukai yang telah dibayar oleh rakyat.
“Kempen ini akan diteruskan. Setiap hari kami akan memastikan rakyat mendapat informasi berkenaan jumlah wang yang telah berjaya disimpan,” katanya.
Ujarnya, ia juga sebagai pendorong buat berjuta-juta rakyat negara itu yang berada di luar negara untuk turut melabur di Pakistan bagi membantu mengurangkan rizab asing.
Bukan itu sahaja, lagenda kriket itu turut berjanji akan mengekalkan dua buah kenderaan rasmi berbanding lebih 80 kenderaan rasmi dalam pemerintahan terdahulu.
Difahamkan, Imran juga merancang untuk mempunyai dua pembantu berbanding 524 yang diperuntukkan untuk perdana menteri sebelum ini.
BACA: Imran Khan berjanji baik pulih ekonomi Pakistan
Dalam ucapan selama sejam, Imran turut menyentuh tentang keperluan mengekalkan perdamaian dengan negara-negara jiran Pakistan, cabaran perubahan cuaca dan keperluan perubahan perkhidmatan awam.
Imran mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-22 Pakis­tan pada Sabtu lalu dalam satu majlis sederhana di sini dan kemudian mengumumkan seramai 20 anggota kabinet yang terdiri daripada 15 menteri dan lima penasihat.
#Imran Khan #Islam #lagenda kriket #Pakistan #Perdana Menteri #Rasuah