Imran Khan, isteri dipenjara tujuh tahun akibat berkahwin secara tidak sah
Agensi
Februari 3, 2024 06:30 MYT
Februari 3, 2024 06:30 MYT
ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda ke atas bekas Perdana Menteri negara itu, Imran Khan dan isterinya, Bushra Khan selepas memutuskan perkahwinan mereka sebagai melanggar undang-undang.
Mahkamah memutuskan perkahwinan Imran dan Bushra pada 2018 tidak sah di sisi syarak.
Ini merupakan keputusan buruk ketiga dihadapi bekas Perdana Menteri itu pada minggu ini dan muncul menjelang pilihan raya negara berkenaan, Khamis ini, selepas beliau dilarang daripada bertanding.
Imran yang berusia 71 tahun masih dalam penjara sejak beberapa hari lalu selepas dijatuhi hukuman 10 tahun kerana membocorkan rahsia negara dan penjara 14 tahun bersama isterinya kerana menjual hadiah negara secara haram.
"Selepas berjam-jam perbicaraan tergesa-gesa di mahkamah, tiada pemeriksaan balas saksi, dan tiada proses wajar - satu penghinaan terhadap undang-undang.
"Melalui cara perbicaraan ini dijalankan, akan ada tanda tanya besar yang akan berlaku pada pilihan raya 8 Februari ini. Ini adalah kes ujian untuk badan kehakiman yang lebih tinggi di Pakistan," kata parti politik pimpinan Imran, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), dalam satu kenyataan.
ARY News, melaporkan, dalam penghukuman itu, kedua-duanya masing-masing didenda 500,000 rupee (AS$1,800, RM8,491).
Bushra dituduh tidak menyempurnakan tempoh menunggu yang diamanatkan oleh Islam iaitu 'edah', selepas bercerai dengan suaminya yang terdahulu dan berkahwin dengan Imran.
Pasangan berkenaan menandatangani kontrak perkahwinan dipanggil 'Nikkah' pada Januari 2018 dalam satu majlis rahsia tujuh bulan sebelum bekas superstar kriket ternama itu dipilih sebagai Perdana Menteri buat kali pertama.
Bahkan, terdapat juga kontroversi sama ada mereka melangsungkan perkahwinan sebelum haid selesai.
Selepas penafian di awal perkahwinan Januari itu, PTI kemudiannya mengesahkannya beberapa minggu kemudian.
Namun, Imran dan Bushra menafikan sebarang salah laku dilakukan.
"Boleh saya katakan saya adalah saksi nikah dan ia adalah satu lagi kes palsu. Daripada saksi kepada keterangan kepada prosedur," kata penasihat media Khan, Zulfi Bukhari kepada Reuters.
Khan berada di penjara di Rawalpindi, manakala isterinya dibenarkan menjalani hukuman di rumah agam mereka di atas bukit di Islamabad.
Pemimpin itu sudah kehilangan kelayakan selama 10 tahun daripada memegang jawatan awam dan ketika ini, adalah tidak jelas sama ada hukuman itu akan dijalankan serentak atau berasingan.
Difahamkan, bekas suami Bushra, Khawar Maneka, yang berkahwin dengan wanita itu selama kira-kira 30 tahun, membuat aduan jenayah terhadap Imran.
Imran sering menggelar isterinya sebagai pemimpin rohaninya.
Dia terkenal dengan pengabdiannya kepada tasawuf.
Dilahirkan dengan nama Bushra Riaz Watto, dia menukar namanya kepada Khan selepas perkahwinannya itu.
Suami dan pengikutnya biasanya memanggilnya sebagai Bushra Bibi atau Bushra Begum, gelaran yang menunjukkan rasa hormat dalam bahasa Urdu.
Tidak jelas bila atau bagaimana Imran bertemu Bushra, namun, bekas pembantunya Aun Chaudhry berkata, Imran terpesona dengan iman wanita itu.
Sekitar tahun 1990-an, Imran terkenal dengan imej 'playboy' ketika kerjaya kriketnya bermula dan beliau dilaporkan sangat berminat dengan pengajian tasawuf.
Dua perkahwinan Imran sebelum ini berakhir dengan perceraian - iaitu bersama Jemima Goldsmith, anak kepada taikun perniagaan James Goldsmith dan wartawan televisyen, Reham Nayyar Khan. - REUTERS