Imran Khan fail petisyen cabar keputusan suruhanjaya pilihan raya
Astro Awani
Oktober 23, 2022 10:50 MYT
Oktober 23, 2022 10:50 MYT
ISLAMABAD: Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang melucutkan kelayakannya daripada memegang jawatan awam selama lima tahun.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mendapati Imran Khan secara haram menjual hadiah negara dan menyembunyikan aset sebagai perdana menteri.
Ia sekali gus melucutkan kelayakannya di bawah undang-undang Pakistan daripada memegang jawatan awam selama lima tahun dan kehilangan kerusinya di Parlimen secara automatik.
Keputusan itu meletakkan politik Pakistan semakin kacau bilau ketika mana negara berkenaan sedang bergelut dengan ekonomi meruncing, kekurangan makanan dan akibat banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga mengorbankan 1,725 orang.
Ini diburukkan lagi dengan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan lonjakan malaria dan penyakit berkaitan banjir lain.
Pengumuman itu dibuat ketika Imran Khan, yang digulingkan dalam undi tidak percaya di Parlimen pada April, mengumpulkan penyokong menentang kerajaan baharu diterajui perdana menteri Shahbaz Sharif dan menggesa pilihan raya awal.
Berikutan itu, penunjuk perasaan bertempur dengan polis di luar ibu kota Islamabad, namun digesa Imran Khan untuk bersurai secara aman dan menunggu panggilannya untuk berarak di Islamabad.
Jurucakap Imran Khan, Fawad Chaudhry berkata petisyen mencabar kehilangan kelayakan bekas perdana menteri itu difailkan di Mahkamah Tinggi Islamabad bagi mendapatkan perbicaraan segera.
Sementara itu, peguam Imran Khan, Ali Zafar berkata beliau berharap mahkamah akan membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mana ia susulan petisyen daripada kerajaan campuran Shahbaz Sharif yang meminta tindakan terhadap Imran Khan atas dakwaan bahawa beliau secara tidak sah menjual hadiah negara.
Mengikut undang-undang Pakistan, pemimpin kerajaan dibenar membeli balik hadiah, tetapi lazimnya tidak dijual dan jika dijual sekali pun, individu terbabit mesti mengisytiharkannya sebagai pendapatan.
Imran Khan, yang berkuasa pada 2018, digulingkan pada April tahun ini melalui undi tidak percaya di Parlimen, namun mendakwa tanpa memberikan bukti bahawa kerajaannya digulingkan sebagai sebahagian rancangan Amerika Syarikat.