Imran bantah keputusan tidak rasmi pilihan raya Pakistan

Astro Awani
Mei 12, 2013 23:50 MYT
Penyokong bekas lagenda kriket Pakistan, Imran Khan membantah keputusan tidak rasmi pilihan raya negara berkenaan.
Mereka mendakwa proses pengundian berjalan secara tidak adil.
Mereka melancarkan protes selepas bekas perdana menteri Pakistan, Nawaz Sharif mengumumkan Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz pimpinannya memenangi pilihan raya.
Imran Khan sebelum ini dilaporkan menyambut baik keputusan tersebut.
Bagaimanapun partinya, Tehreek-E-Insaf akan membuat aduan tentang penipuan dalam proses pengundian.
Parti Khan dijangka memenangi lebih 30 kerusi dan bakal menjadi parti kedua terbesar dalam Parlimen.
Ekoran kemenangan itu, Sharif mengadakan beberapa rundingan bagi membentuk pentadbiran baharu.
Pengiraan awal sebelum ini menunjukkan parti Sharif itu memenangi lebih daripada 126 kerusi daripada keseluruhan 268 kerusi Parlimen.
Sharif sebelum ini pernah digulingkan dalam rampasan kuasa semasa beliau menjadi perdana menteri pada tahun 1999.
#bantah #Imran Khan #keputusan #Nawaz Sharif #Pakistan #pilihan raya