Imigresen Indonesia kenal pasti laluan penyeludupan utama pekerja migran
Bernama
Ogos 15, 2024 22:44 MYT
Ogos 15, 2024 22:44 MYT
JAKARTA: Imigresen Indonesia telah mengenal pasti tiga laluan penyeludupan utama pekerja migrannya - dari Medan ke Malaysia dan Singapura, Surabaya ke Vietnam melalui Malaysia dan Brunei, serta dari Jakarta ke Thailand dan Kemboja.
Direktorat Jeneral Imigresen membongkar beberapa cara yang sering digunakan pekerja untuk mengelak daripada mengikuti prosedur undang-undang, termasuk skim penempatan kerja khas, program umrah dan haji, latihan luar negara, serta perkahwinan.
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa telah mengetatkan kawalan pasport dan meningkatkan pengawasan imigresen, yang mengakibatkan kelewatan dalam pengeluaran 18,604 pasport dan penangguhan keberangkatan 14,930 pekerja migran setakat ini.
"Tekanan ekonomi dan faktor sosial mendorong ramai warga Indonesia untuk menggunakan laluan tidak mengikut prosedur untuk bekerja di luar negara," katanya dalam satu kenyataan.
Direktorat itu juga melaporkan bahawa ramai warga Indonesia menjadi mangsa penipuan pemerdagangan manusia dalam talian dan sukar untuk membezakan antara mangsa dan pelaku.
Isu-isu ini telah dibincangkan dalam Forum Perisikan Imigresen ASEAN di Nha Trang, Vietnam, pada 13 Ogos, sebagai sebahagian daripada mesyuarat Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Konsular ASEAN ke-27 yang diadakan dari 13 hingga 16 Ogos.
Direktorat itu menyeru agar forum akan datang memberi tumpuan kepada pertukaran data mengenai individu dikehendaki, pengganas, pemerdagang manusia, dan penyeludup.
-- BERNAMA