Iktiraf Palestin, umpama beri hadiah kepada keganasan - Netanyahu

Astro Awani
Mei 22, 2024 07:15 MYT
NETANYAHU: Hasrat beberapa negara Eropah untuk mengiktiraf negara Palestin adalah seolah-olah memberi ganjaran kepada keganasan. - Gambar fail REUTERS
PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan negara-negara Eropah yang bertindak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara ibarat memberi hadiah kepada keganasan.
Reaksi Netanyahu itu susulan pengumuman oleh Ireland, Norway dan Sepanyol yang mengumumkan akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Netanyahu berkata, tindakan itu tidak akan menghalang Israel bagi memenangi perang di Gaza.
“Hasrat beberapa negara Eropah untuk mengiktiraf negara Palestin adalah seolah-olah memberi ganjaran kepada keganasan.
“Lapan puluh peratus rakyat Palestin di Judea dan Samaria menyokong pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat pada 7 Oktober.
"Kejahatan ini tidak boleh dibenarkan. Ia akan menjadi negara pengganas. Ia akan cuba mengulangi pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober lagi.
“Kami (Israel) tidak akan bersetuju dengan ini, iaitu memberi hadiah kepada keganasan tidak akan membawa keamanan, dan juga tidak akan menghalang kami daripada mengalahkan Hamas,” ujarnya.
Ireland, Sepanyol dan Norway mengumumkan pada Rabu bahawa mereka akan mengiktiraf sebuah negara Palestin pada 28 Mei dan berharap negara Barat lain akan mengikutinya.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan Israel dengan pihak Kementerian Luarnya memaklumkan telah memanggil pulang dutanya dari Ireland dan Norway sebagai respons.
Ketiga-tiga negara menggariskan keputusan itu sebagai langkah bagi mempercepatkan usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dalam perang antara Israel dan Hamas di Gaza.
Sekitar 144 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, termasuk sebahagian besar selatan global, Rusia, China dan India.
Bagaimanapun hanya segelintir daripada 27 ahli EU telah berbuat demikian.
Britain, Australia dan ahli EU Malta dan Slovenia dilihat bakal mengikut jejak langkah yang sama.
#Benjamin Netanyahu #Palestin #sepanyol #Gaza #gencatan senjata
;