Iktiraf Baitulmaqdis: Indonesia panggil duta besar AS beri penjelasan

Bernama
Disember 8, 2017 16:21 MYT
Pendirian Indonesia ialah, membantah dan mengutuk tindakan AS memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, secara tidak langsung mengiktiraf bandar suci itu sebagai ibu negara Israel, kata Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi. - Gambar fail
Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi sekali lagi memanggil Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Joseph Donovan, untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Agensi berita Antara melaporkan, jurucakap Kementerian Luar, Arrmanatha Nasir berkata, Duta Besar Donovan dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai laporan diterbitkan di laman web kedutaan itu, yang mengatakan AS telah berunding dengan pelbagai pihak, termasuk Indonesia, sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pengiktirafan tersebut.
Retno di luar Forum Demokrasi Bali (BDF) ke-10 berkata, tiada sebarang rundingan antara Indonesia dan AS mengenai perkara itu.
"Saya ingin tegaskan bahawa rundingan itu tidak pernah diadakan. Apa yang berlaku ialah Indonesia memanggil Duta Besar untuk menyampaikan pendirian kami untuk disampaikan kepada kerajaannya," katanya.
Pendirian teguh Indonesia, ialah membantah dan mengutuk tindakan AS memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, secara tidak langsung mengiktiraf bandar suci itu sebagai ibu negara Israel.
Indonesia menegaskan tindakan sedemikian melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan akan menjejaskan proses damai Palestin-Israel.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Baitulmaqdis #Donald Trump #Indonesia #Israel #Joseph Donovan #Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu #Palestin-Israel #PBB #proses damai #resolusi #Retno Marsudi
;