Ikon wartawan Filipina, Rusia menang Hadiah Nobel Keamanan 2021

Nailah Huda
Oktober 8, 2021 18:16 MYT
Menurut Jawatankuasa Nobel, Maria Ressa (kiri) dan Dmitry Muratov dipilih atas usaha mereka dalam melindungi hak kebebasan bersuara. - Gambar Twitter @NobelPrize
KUALA LUMPUR: Maria Ressa, pengasas portal berita Filipina, Rappler bersama Dmitry Muratov, pengasas akhbar Rusia, Novaja Gazeta dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan 2021.
Menurut Jawatankuasa Nobel, Maria dan Dmitry dipilih atas usaha mereka dalam melindungi hak kebebasan bersuara.
“Jawatankuasa Nobel Norway bersetuju untuk menganugerahkan Hadiah Nobel Keamanan 2021 kepada Maria Ressa dan Dmitry Muratov atas usaha mereka dalam melindungi kebebasan bersuara iaitu prasyarat kepada demokrasi dan keamanan.
“Pada masa yang sama, mereka turut mewakili semua wartawan yang menegakkan nilai-nilai ini dalam dunia yang mana demokrasi dan kebebasan akhbar berdepan situasi yang bertambah buruk,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Maria merupakan salah seorang pengasas Rappler, sebuah syarikat media digital Filipina yang tertumpu kepada kewartawanan penyiasatan terutama ketika kempen kontroversi Presiden Rodrigo Duterte membanteras dadah.
“Maria Ressa menggunakan kebebasan bersuara untuk mendedahkan salah guna kuasa, penggunaan keganasan dan autoritarianisme yang semakin meluas,” kata jawatankuasa itu lagi.
Sementara Dmitry pula sudah berdekad memperjuangkan kebebasan bersuara di Rusia sebagai salah seorang pengasas akhbar bebas, Novaja Gazeta.
Sejak akhbar itu ditubuhkan 1993, seramai enam wartawannya telah dibunuh.
“Kewartawanan berdasarkan fakta serta integriti profesional dalam akhbar tersebut menjadikannya sebagai sumber maklumat utama berhubung aspek-aspek masyarakat Rusia yang jarang disentuh media lain,” jelas Jawatankuasa Nobel lagi.
Tegas jawatankuasa itu, penganugerahan Hadiah Nobel Keamanan kepada kedua-dua ikon wartawan itu melambangkan kepentingan melindungi dan mempertahankan hak-hak asas tersebut.
“Kewartawanan yang bebas dan berdasarkan fakta mampu melindungi daripada salah guna kuasa, penipuan dan propaganda peperangan.
“Tanpa kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar, amat sukar untuk mempromosikan semangat persaudaraan antara negara, pelucutan senjata dan orde dunia lebih baik yang berjaya pada masa kini," jelas jawatankuasa berkenaan.
#nobel #keamanan #Maria Ressa #Dmitry Muratov
;