Ikon penyiaran Britain, Sir Clement Freud didakwa pedofil

AFP
Jun 15, 2016 10:31 MYT
Freud didakwa pernah melakukan penderaan seksual terhadap dua wanita ketika mereka masih remaja. - Gambar fail
Dua wanita telah membuat dakwaan menuduh ikon penyiar British, mendiang Sir Clement Freud melakukan penderaan seksual kepada mereka ketika kecil, dalam satu dokumentari yang akan disiarkan pada Rabu.
Freud, seorang penulis penyiaran, chef selebriti dan ahli Parlimen sebelum kematiannya pada tahun 2009, didakwa melakukan penderaan itu sekitar tahun 1940an hingga 1970an.
Salah seorang wanita berkenaan, Sylvia Woosley memberitahu rancangan dokumentari ITV Exposure: Abused & Betrayed yang Freud telah mencabulnya dari usia 10 hingga 19 tahun.
“Dia mempunyai satu kuasa yang saya tidak faham dan ia bukan sesuatu yang saya biasa alami, dan saya pula terdesak mahukan kasih sayang seorang ayah,” dia mendedahkan dalam dokumentari tersebut.
“Ia memusnahkan sesuatu dalam diri saya, dan ia memberi kesan kepada saya sepanjang hidup.”
Seorang lagi wanita yang enggan dikenali memberitahu ITV, Freud menjaganya ketika remaja dan merogolnya ketika dia berusia 18 tahun sewaktu berada di kediaman ibu bapanya.
“Saya hidup dalam ketakutan sepanjang masa. Saya menderita hampir 40 tahun,” kata wanita itu.
Freud merupakan cucu kepada Sigmund Freud, yang merupakan pelopor teori Psikoanalisis, dan juga abang kepada pelukis Lucian Freud. Dia dikurniakan darjah kesatria pada 1987.
Balunya, Jill Freud, 89, mengeluarkan kenyataan balas sebagai reaksi kepada program itu.
“Hari ini adalah hari paling menyedihkan. Saya dan Clement berkahwin selama 58 tahun dan sangat menyayanginya.
“Saya terkejut, sedih dan bersimpati dengan apa yang dilalui wanita-wanita ini.”
Britain ketika ini masih terkejut dengan pendedahan bahawa personaliti televisyen Jimmy Saville merupakan pesalah seksual.
Pendedahan yang dibuat selepas kematiannya itu menyaksikan dakwaan demi dakwaan dikemukakan dan siasatan mula dijalankan.
#Clement Freud #Jimmy Saville #pedofil
;