Ikon pemisah Syed Ali Geelani meninggal dunia pada usia 92 tahun
Agensi
September 2, 2021 12:24 MYT
September 2, 2021 12:24 MYT
KUALA LUMPUR: Ikon pemisah, Syed Ali Geelani dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Srinagar, Kashmir, India pada Rabu.
Geelani menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun selepas menderita sakit sejak sekian lama.
Media antarabangsa melaporkan kesihatan Allahyarham merosot sejak beberapa bulan lalu susulan masalah jantung dan buah pinggang.
Geelani pernah dipenjarakan bertahun-tahun selain dikenakan tahanan rumah sejak 11 tahun lalu.
Susulan kematian Geelani, pihak berkuasa India mengetatkan keselamatan di Kashmir selain pasukan tentera memasang kawat berduri dan penghadang di jalan menuju ke rumah Allahyarham di bandar Srinagar, selepas keluarganya mengumumkan kematiannya.
Laporan turut mendakwa perintah berkurung mungkin dilaksanakan dan perkhidmatan internet di kawasan tersebut dipotong.
Ketika hayatnya, Allahyarham Geelani giat berkempen menentang pemerintahan India di wilayah Himalaya yang dihuni penduduk majoriti Muslim yang terbahagi antara India dengan Pakistan sejak 1947.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dalam kemas kini di laman Twitter turut menzahirkan penghormatan atas kematian Geelani.
“Sangat berdukacita dengan pemergian pejuang kemerdekaan Kashmir, Syed Ali Geelani yang berjuang sepanjang hidupnya untuk rakyat dan hak mereka sendiri. Dia dipenjarakan dan berdepan tekanan oleh India, namun dia tetap tegas dengan pendirian.
“Kami di Pakistan mengagumi perjuangannya yang berani dan mengingati kata-katanya: "Kami adalah Pakistan dan Pakistan adalah milik kami"," tulis Khan.
Tahun lalu, Geelani telah menerima anugerah Nishan-e-Pakistan, yang mana anugerah tersebut pernah diberikan kepada Nelson Mandela, Richard Nixon dan Fidel Castro.
Kashmir terbahagi antara India dan Pakistan serta dituntut oleh kedua-dua negara tersebut.
Ramai orang Muslim Kashmir menyokong matlamat menyatukan wilayah, sama ada di bawah pemerintahan Pakistan atau sebagai negara merdeka.
Pegawai India menggambarkan pemberontakan Kashmir sebagai "keganasan" Pakistan.
Bagaimanapun, Pakistan menafikan dakwaan tersebut kebanyakan orang Kashmir menganggapnya ia sebagai perjuangan kebebasan yang sah.