Iklankan baju bayi percuma di Facebook sebelum jerut mati wanita hamil
Hasimi Muhamad
Mei 17, 2019 08:44 MYT
Mei 17, 2019 08:44 MYT
Kejam! Seorang wanita hamil dibunuh selepas berkunjung ke sebuah rumah Southwest Side, Chicago setelah penghuni rumah tersebut 'menawarkan' pakaian bayi percuma di laman Facebook.
Dalam kejadian pada 23 April lalu, mangsa Marlen Ochoa-Lopez, 19, dijerut dan bayi dalam kandungannya dipotong dari bahagian rahim.
Memetik laporan media antarabangsa, bayi tersebut kini berada dalam keadaan kritikal.
Menurut pihak berkuasa, mayat wanita malang itu ditemui di belakang rumah berkenaan pada Rabu lalu selepas tiga minggu kehilangannya.
Kali terakhir, wanita yang hamil sembilan bulan itu dilihat adalah ketika meninggalkan kawasan sekolah menengahnya, pada hari kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba Chicago berkata, pasukan paramedik menerima panggilan daripada seorang individu sekitar jam 6 petang waktu tempatan pada 23 April lalu, mendakwa seorang bayi mengalami masalah pernafasan.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, bayi tersebut dirawat sebelum pasukan perubatan bergegas membawa bayi tersebut ke Pusat Perubatan Advocate Christ selepas keadaannya kritikal.
Sementara itu, keluarga mangsa percaya bahawa mangsa pergi ke rumah berkenaan selepas seorang wanita menawarkan kereta sorong dan pakaian bayi di laman Facebook dikenali "Help A Sister Out".
"Ia adalah satu rahmat kita temukan Yadiel (bayi tersebut). Itu nama yang dipilih oleh Marlen (mangsa)," katanya ketika ditemui pada sidang media, Rabu lalu.
Sidang media tersebut antaranya memaklumkan kereta milik mangsa ditemui di sekitar lokasi kejadian.
Jelas Gracia lagi, pasukan penyiasat telah menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengesyaki wanita yang mendakwa ibu kepada bayi berkenaan membuat laporan palsu.
Katanya, penyiasat telah mengambil sampel air liur bayi dan bapa bayi tersebut bersama sampel rambut dari rumah Marlen bagi menentukan identiti.
Wanita yang menghubungi pihak polis berhubung bayi tersebut telah direman bersama dua individu lain.