IKEA tarik balik penjualan kek badam
AFP
Mac 5, 2013 23:14 MYT
Mac 5, 2013 23:14 MYT
Rangkaian perabot terkenal Sweden – Ikea menarik balik penjualan kek badam dari cafenya di 23 negara setelah pihak berkuasa China mendakwa terdapat bakteria Koliform yang biasanya terdapat di dalam najis.
Menurut Shanghai Daily, Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin mendapati kek buatan Sweden itu telah gagal ujian yang telah dijalankan dengan mengandungi bakteria Koliform tahap berlebihan.
Jurucakap Ikea, Ylva Magnusson berkata 1800 kek Taarta Chokladkrokant atau lebih dikenali sebagai kek badam dengan cokelat, krim mentega dan Butterscotch telah dihapuskan pada Disember yang lalu setelah ditahan oleh kastam China.
“Ada indikasi yang mengatakan tahap bakteria yang ditemui adalah sangat rendah, namun begitu kita perlu tahu jumlah sebenar dan bagaimana perkara ini boleh berlaku” tambahnya lagi
Ahli mikrobiologi di agensi Swedish National Food, Mats Lindblad berkata bakteria Koliform boleh terjadi dari pencemaran najis walaupun tidak selalu.
Dia berkata lagi yang bakteria itu biasanya tidak bahaya kepada pengguna.
Ikea minggu lepas menarikbalik hidangan bebola daging dari cafenya di 25 negara selepas pihak berkuasa Czech mendapati terdapat DNA kuda didalamnya.
“Adalah penting untuk produk-produk yang dibeli oleh pelanggan kami selamat untuk digunakan dan dimakan” Kata Magnusson mengakhiri perbualan.