Ikan tuna di Tokyo dibeli dengan harga RM513 ribu
Nizam Bakeri
Januari 5, 2016 22:59 MYT
Januari 5, 2016 22:59 MYT
Seekor ikan tuna sirip biru seberat 200 kilogram dijual pada harga RM513 ribu pada sesi lelongan pertama tahun ini di Pasar Ikan Tsukiji, Tokyo.
Sesi lelongan tersebut dimenangi oleh Kiyoshi Kimura, seorang presiden rangkaian restoran sushi.
Menurut BBC, beliau telah memenangi sesi lelongan tahunan ini sebanyak lima kali berturut-turut.
Lelongan tahun baharu biasanya mencatatkan harga yang lebih tinggi dari biasa kerana acara ini dianggap membawa tuah kepada perniagaan.
Bagaimanapun, sesi tersebut merupakan yang terakhir dalam sejarah kewujudan Pasar Ikan Tsukini kerana bermula November tahun ini, pasar bersejarah itu akan dipindahkan ke Teluk Tokyo.
Kawasan asal pasar tersebut akan digantikan dengan taman pesisir laut, kompleks beli-belah, dan terminal feri komersil.
Alah membeli, menang memakan
Kemenangan Kimura ini tidak mengejutkan kerana beliau terkenal sebagai pengusaha sushi yang sanggup membayar harga mahal demi mendapatkan bekalan tuna paling berkualiti.
Pada tahun 2013 misalnya, beliau memenangi sesi lelongan di pasar yang sama dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM5.66 juta bagi seekor ikan tuna seberat 222 kilogram.
Kepupusan tuna sirip biru
Rakyat Jepun memakan lebih 80 peratus bekalan tuna sirip biru dunia. Ditambah dengan populariti hidangan sushi di seluruh dunia, populasi ikan tuna ini semakin terancam.
Kumpulan pencinta alam sekitar telah pun memberi amaran bahawa ikan ini semakin pupus dan ada yang mahu penjualan spesis ini diharamkan sama sekali.