'Ikan singa' yang beracun sudah terlalu banyak di Cyprus, akhirnya ke meja makan!

Agensi
Julai 17, 2019 20:01 MYT
Ikan singa yang dahulunya dianggap cantik dan eksotik, kini perlu dimakan atau dibunuh dengan banyak. - Reuters
Wanted”, tertera perkataan itu di poster di sebuah kawasan pinggir laut di Larnaca. Bagi masyarakat di luar Cyprus, melihat ikan singa atau lion fish tersenarai sebagai ikan yang paling ‘dikehendaki’, sama ada digoreng mahupun dibunuh, tentunya suatu yang aneh.
Ternyata, ikan yang dianggap antara yang tercantik dan eksotik itu kini semakin disukai penggemar makanan, sama ada ia dipanggang, dipotong isinya mahupun sebagai bahan tambahan dalam resipi risotto.
Sebuah projek yang ditaja oleh Kesatuan Eropah (EU) telah melertakkan Cyprus sebagai negara yang kini berdepan dengan ‘penaklukan’ ikan berkenaan, yang telah memasuki dan membiak di perairan Cyprus menerusi zon timur Mediterranean sepanjang lima tahun lalu.
Semakin berkembang biak hingga mengubah ekosistem asal, penduduk tempatan membuat keputusan bahawa – jika tidak mampu mengalahkannya, ia seharusnya dimakan!
Ikan yang memiliki jalur terang dan bersirip pektoral berumbai itu memang dilihat cantik namun sirip dorsal (atas) dipenuhi deretan duri yang beracun.
Sengatannya sangat bertoksik, dan mampu menghasilkan sehingga 30,000 biji telur setiap empat hari. Ia juga memberi ancaman kepada spesies ikan dan krustasea lain seperti udang, ketam dan sebagainya.
Sehingga kini, ikan singa belum mempunyai sebarang pemangsa.
Projek tajaan EU itu mahu mempromosikan ikan singa sebagai sumber makanan, sekali gus sebagai usaha mengawal populasinya yang semakin berganda.
Masalah yang sama juga menghantui perairan negara jiran seperti Lubnan.
"Kami berharap manusia boleh menjadi musuh kepada ikan singa ini di Mediterranean,” ujar penyelidik di University of Plymouth, Periklis Kleitpou.
Universiti berkenaan turut terlibat dalam projek penyelidikan yang dinamakan ‘Relionmed’, selain mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Cyprus, University of Cyprus dan dua pusat penyelidikan tempatan - Enalia Physis Environmental Research Centre dan Marine and Environmental Research (MER) Lab.
Para saintis berkata, air laut yang lebih hangat akibat perubahan iklim dan pelebaran Terusan Suez telah menyebabkan kemasukan spesies yang asalnya dari Indo-Pasifik itu.
"Empat tahun lalu, anda bertuah jika dapat jumpa seekor, dan semua orang mahu ambil gambar dan berkata ‘wow’.
“Sekarang jika anda menyelam di situ, anda akan jumpa beribu-ribu,” ujar pengendali bot di Larnaca, Christos Giovannis.
Sejak tahun 2019, pasukan penyelam sering menjalankan ekspedisi di perairan Cyprus untuk membunuh ikan berkenaan.
Para tukang masak juga sudah banyak memberi tunjuk ajar secara umum tentang cara menyiang ikan itu dengan selamat, seterusnya dijadikan hidangan lazat.
"Hidangan ikan ini boleh disediakan dalam pelbagai cara. Asalkan anda membuang duri dan tulang belakangnya yang beracun, anda boleh menikmatinya seperti ikan lain," ujar seorang chef tempatan Stelios Georgiou.
#Cyprus #ikan singa #Kesatuan Eropah #lion fish #mediterranean #pemburuan
;