'IDF sasar bunuh kami, bukan Hamas' - Tahanan warga Israel

Sinar Harian
Disember 8, 2023 18:48 MYT
Kerajaan Israel dikecam setelah berterusan mengebom Gaza walaupun selepas mendakwa mereka mempunyai maklumat risikan aktiviti Hamas. -Gambar fail/Reuters
TEL AVIV: Tebusan Israel yang dibebaskan meluahkan perasaan amarah mereka semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan menyatakan mereka lebih takut dibunuh dalam serangan udara tenteranya sendiri bukannya penculiknya, pejuang Hamas.
Seorang wanita yang dijadikan tebusan oleh Hamas di Gaza semasa serangan tercetus pada 7 Oktober lalu yang dibebaskan, baru-baru ini berkata, mereka berada dalam kurungan dalam terowong bukan takutkan Hamas tetapi bimbang dibom dalam serangan udara Israel.
"Kami berada dalam terowong, bukannya takut Hamas, tetapi Israel yang akan membunuh kami dan sebaliknya akan mengatakan Hamas membunuh anda," kata seorang wanita dalam audio yang bocor semasa pertemuan, pada Selasa lalu antara bekas tebusan, ahli keluarga tebusan masih ditahan yang diterbitkan di laman berita Israel, Ynet.
Seorang lagi bekas tebusan yang dibebaskan bersama anak-anaknya, tetapi suaminya masih ditahan Hamas memberitahu Netanyahu dan anggota Kabinet perang Israel bahawa tiada pihak yang membantu mereka semasa dijadikan tebusan.
"Realitinya, saya berada di tempat persembunyian yang sedang dibom dan kami menjadi pelarian yang cedera.
"Ini tidak termasuk helikopter yang menembak kami semasa dalam perjalanan ke Gaza," katanya dalam rakaman itu.
Wanita itu turut mengecam kerajaan Israel atas dakwaan mereka mempunyai maklumat risikan aktiviti Hamas, namun Angkatan Pertahanan Israel (IDF) tidak berhenti mengebom Gaza.
"Anda mendakwa bahawa terdapat risikan. Tetapi hakikatnya ialah kami dibedil. Suami saya sudah dipisahkan daripada kami tiga hari sebelum kami kembali ke Israel dan dibawa ke terowong Hamas," katanya.
Tambahnya, rancangan Israel membanjiri terowong Hamas dengan air laut akan membahayakan tebusan lain dan bukannya pejuang Hamas. -Sinar Harian/Agensi
#Benjamin Netanyahu #Israel #Hamas #tahanan Hamas
;