Identiti pekerja Twitter yang tutup akaun Trump didedahkan
Agensi
November 30, 2017 18:19 MYT
November 30, 2017 18:19 MYT
Identiti bekas pekerja Twitter yang bertanggungjawab menutup akaun Presiden Donald Trump selama 11 minit pada 2 November lalu kini telah dikenalpasti.
Warga Jerman berusia 20an, Bahtiyar Duysak kini sudah kembali ke negara asal selepas kejadian itu.
Dalam satu temubual bersama portal Techcrunch, Duysak menjelaskan ia tidak disengajakan.
Duysak bertugas di Bahagian Amanah dan Keselamatan Twitter, dimana tugas hariannya termasuk menyelesaikan aduan salah guna kuasa akaun Twitter seperti penggunaan kata-kata kesat dan bersifat perkauman.
Twitter bagaimanapun memberi pengecualian kepada akaun Twitter presiden Amerika Syarikat itu daripada laporan salah guna kerana status Trump sebagai presiden.
Pada hari terakhir dia bekerja, Duysak berkata Twitter menerima aduan mengenai akaun Twitter Trump.
Sebelum menutup komputer buat kali terakhir, dia mengemaskini akaun Trump sebagai salah satu akaun yang patut ditutup kerana salah guna.
Dia tidak menyangka bahawa perbuatan itu akan menyebabkan akaun Twitter Trump terpadam.
“Saya tidak menyedari apa yang berlaku sehingga beberapa jam kemudian. Seorang wanita yang saya tidak kenali mendekati saya dan berkata dia telah dihubungi dan ditanya berkenaan saya dan akaun Twitter Trump. Saya hampir tidak percaya apabila diberitahu bahawa akaun tersebut terpadam,” katanya.
Jelasnya walaupun dia telah pulang ke Jerman, Duysak masih diburu media antarabangsa dan tempatan yang turut menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk mendapatkan temubual bersamanya. Malah ada wartawan yang menghubungi jiran-jiran, bekas universiti dan tempat dia pernah bekerja.
“Saya mahu meneruskan hidup dengan normal. Saya tidak mahu menghabiskan masa melarikan diri dari media. Saya mahu berjumpa dengan jiran-jiran dan rakan-rakan saya seperti biasa. Di laman media sosial, saya terpaksa membuang ratusan rakan-rakan dan gambar kerana wartawan memburu mereka juga,” katanya.
Akaun Twitter Trump merupakan antara akaun Twitter paling popular dan diikuti ketika ini dengan 43.5 juta pengikut dan ratusan ribu pengikut baru setiap minggu.