Identiti mayat pertama mangsa nahas Lion Air dikenal pasti
Agensi
Oktober 31, 2018 05:13 MYT
Oktober 31, 2018 05:13 MYT
Pihak berkuasa Indonesia telah mengenal pasti identiti salah satu mayat mangsa nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang, Indonesia pagi Isnin lalu.
Mangsa pertama disahkan sebagai seorang wanita dengan pengenalan nama Donatun Cyntia Dewi, berusia 24 tahun dan dilahirkan di Sidoarjo pada 12 September 1994.
Mangsa dikenal pasti menerusi analisis cap jari.
Sehingga lewat malam tadi, 56 beg jenazah mangsa telah dikeluarkan.
Proses kenal pasti mangsa selebihnya masih berjalan sehingga kini.
Pesawat malang itu terhempas 13 minit selepas berlepas dari Jakarta, dipercayai membunuh semua 189 orang penumpang dan anak kapal.
Proses pencarian kotak hitam dan fiuslaj pesawat malang itu masih belum mendatangkan hasil pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), meskipun alat sonar di kapal-kapal pengesan yang dikerah sudah mengenal pasti isyarat ping.