Idaho bakal luluskan undang-undang bunuh 90 peratus populasi serigala
Agensi
April 29, 2021 18:41 MYT
April 29, 2021 18:41 MYT
BOISE: Penggubal undang-undang di Idaho, Amerika Syarikat bakal meluluskan rang undang-undang negeri untuk membenarkan pembunuhan sehingga 90 peratus populasi serigala, lapor Reuters.
Undang-undang yang dipengaruhi sentimen petani dan penternak lembu itu akan berkuat kuasa dalam masa beberapa hari, tinggal menunggu untuk ditandatangani gabenor.
Gabenor Brad Little setakat ini belum menunjukkan petanda sama ada beliau menyokong undang-undang itu mahupun sebaliknya. Seorang jurucakap pejabat Gabenor enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
Little, Anggota Republikan yang baru dalam penggal pertama itu, memiliki tempoh enam hari untuk menurunkan tandatangan ataupun memveto langkah berkenaan. Bagaimanapun, jika tiada sebarang respons dibuat sehingga tempoh itu habis, secara automatik undang-undang itu sah.
Dewan Perwakilan Idaho pada minggu ini memperoleh 58 undi menyokong berbalas 11 membantah berkenaan usul berkenaan, yang melepasi peringkat senat minggu sebelumnya dan menerima sokongan kuat dri sektor agrikultur.
Menurut mereka, kawanan serigala membunuh dan menakutkan biri-biri, lembu dan haiwan ternakan lain.
"Serigala-serigala itu memusnahkan pengusaha ternakan, malah memusnahkan hidupan liar lain,” ujar Senator Mark Harris minggu lalu, sewaktu menunjukkan sokongan kepada usul tersebut.
Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar Idaho pada 2002 telah membentangkan perancangan Pengurusan dan Konservasi Serigala yang mencadangkan negeri itu mengekalkan sekurang-kurangnya 150 ekor serigala. Harris berkata, jumlah itu bagaimanapun telah meningkat 10 kali ganda, atau lebih 1,500 ekor pada kali akhir pengiraan dibuat.
Sementara itu, kumpulan konservasi hidupan liar telah mendesak Little menggunakan kuasa veto ke atas rang undang-undang berkenaan.
“Undang-undang itu membazirkan berjuta-juta dolar duit rakyat untuk membunuh serigala, dan bakal mengembalikan spesies itu dalam senarai haiwan terancam,” kata kumpulan Western Watersheds Project yang mewakili tiga kumpulan konservasi.
Tambahan pula, serigala kelabu pernah dikeluarkan daripada senarai Akta Spesies Terancam tahun lalu oleh Jabatan Dalam Negeri AS, kerana mendapati haiwan itu tidak lagi memerlukan perlindungan. Itupun setelah bertahun-tahun usaha dijalankan untuk memulihkan populasinya.
Jika Little menandatangani rang undang-undang berkenaan, pihak berkuasa negeri akan menlantik kontraktor untuk melakukan pemburuan dan pembunuhan serigala, yang dikhuatiri tiada sasaran had.
#serigala
#Idaho
#Amerika Syarikat
#sektor pertanian
#hidupan liar
#haiwan liar
#ternakan
#haiwan pemangsa
#undang-undang