ICW bangunkan platform antirasuah secara maya

Astro Awani
Disember 9, 2021 23:40 MYT
Platform itu merupakan sebahagian dari usaha ICW dalam memberi pendidikan tentang rasuah kepada rakyat Indonesia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bagi mengarusutamakan usaha menentang rasuah, Indonesia Corruption Watch (ICW) membangunkan sebuah platform secara maya bagi rakyat negara tersebut lebih celik tentang bahaya rasuah.
Pengasas ICW, Adnan Topan Husodo menjelaskan platform yang dikenali sebagai Akademi Anti Korupsi itu mula dibina sejak 2018.
Adnan menjelaskan platform itu merupakan sebahagian dari usaha ICW dalam memberi pendidikan tentang rasuah kepada rakyat Indonesia.
"Kami di ICW juga sudah mula melihat bahawa pendidikan anti korupsi merupakan hal yang penting untuk dijalankan programnya oleh ICW.
"Oleh kerana itu kami akhirnya pada tahun 2018, kami membuat platform pendidikan anti korupsi berbasis online yang kami namakan Akademi Anti Korupsi.
"Sekarang ini sudah ada kurang lebih 17 mata kuliah mengenai korupsi. Ini sudah kami kerjasamakan platform ini dengan berbagai perguruan tinggi yang ada di Indonesia," katanya ketika sesi secara maya bersama Malaysia Corruption Watch (MCW) pada Khamis.
Beliau juga menjelaskan platform yang dibangunkan bagi menyedarkan masyarakat tentang rasuah di Indonesia ini boleh diakses secara percuma.
Adnan juga menjelaskan, Kementerian Pendidikan Indonesia juga telah mewajibkan institusi pengajian tinggi di negara tersebut menyediakan mata pelajaran antirasuah.
Namun, Adnan menegaskan lebih banyak usaha perlu dilakukan oleh ICW dan masyarakat sivil di Indonesia untuk mengupayakan penentangan rasuah.
#Indonesia Corruption Watch #ICW #Malaysia Corruption Watch #MCW #Rasuah #antirasuah #Akademi Anti Korupsi
;