ICRC bimbang keadaan loji nuklear Ukraine, akses kepada tawanan perang

Bernama
September 2, 2022 20:20 MYT
ICRC berkata sekiranya berlaku kebocoran nuklear, adalah amat sukar bagi ICRC untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pihak terbabit. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan di loji kuasa nuklear Zaporizhzhia dikuasai Rusia dan nasib tahanan perang (POW) dalam konflik Ukraine-Rusia.
Ketua Pengarah ICRC Robert Mardini berkata sekiranya berlaku kebocoran nuklear, adalah amat sukar bagi ICRC untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pihak terbabit.
"Apabila kawasan berbahaya menjadi medan pertempuran, berjuta-juta orang dan alam sekitar bakal terjejas serta boleh menjadi malapetaka bertahun-tahun.
"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk berhenti bermain dengan api dan sebaliknya mengambil langkah konkrit untuk melindungi kemudahan ini daripada operasi ketenteraan.
"Sedikit kesilapan dalam percaturan boleh mencetuskan kemusnahan yang akan dikesali selama beberapa dekad," katanya dalam satu kenyataan yang disediakan oleh ICRC kepada Bernama.
Beliau memberi respons selepas ICRC menjalankan misi kemanusiaan selama enam bulan di Ukraine akibat operasi ketenteraan Rusia sejak 24 Feb.
Ukraine dan Rusia saling menuding jari antara satu sama lain tentang situasi keselamatan di loji Zaporizhzhia dengan tembakan atau serangan dron berlaku di sekitar loji itu, hingga mempertaruhkan keselamatan Chernobyl.
Kyiv berkata Rusia telah menggunakan loji itu sebagai perisai agar pasukannya boleh menyerang bandar dan pekan, dan sukar bagi Ukraine untuk membalas serangan.
Kyiv juga menuduh tentera Rusia membedil loji itu.
Mardini turut melahirkan kebimbangan membabitkan akses terhadap tawanan perang Rusia-Ukraine, dan sehingga kini, ICRC hanya dibenarkan melawat ratusan tawanan perang di kedua-dua belah pihakwalaupun organisasi kemanusiaan antarabangsa itu meminta akses kepada ribuan lagi.
ICRC akan terus menuntut akses kepada semua POW, berpandukan komitmen dan mandat kemanusiaannya di bawah Konvensyen Geneva.
"Kini sudah sebulan berlalu sejak kejadian serangan ke atas kemudahan penjara Olenivka.
"Walaupun rundingan masih diteruskan di belakang tabir, ICRC masih belum diberi jaminan untuk melawat tawanan perang dan memeriksa keadaan mereka. Kami bekerja keras untuk mengubah keadaan itu," katanya.
Mardini juga berkata ICRC dengan sokongan Palang Merah Ukraine dan rakan kongsi Gerakan Palang Merah serta Bulan Sabit Merah yang lain, telah membantu lebih 700,000 orang yang terjejas akibat perang bagi meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan, selain memastikan lebih 9 juta orang mempunyai akses kepada air bersih dan boleh diminum.
-- BERNAMA
#krisis Rusia-Ukraine #loji nuklear #tawanan perang #ICRC