ICJ perintahkan Israel ambil tindakan tangani kebuluran di Gaza

Bernama
Mac 29, 2024 18:00 MYT
Para hakim menekankan warga Palestin di Gaza tidak lagi dalam berada dalam risiko kebuluran tetapi sudah mengalaminya dan kebuluran di sana adalah serius. - Foto Reuters
THE HAGUE: Panel hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebulat suara memerintahkan Israel untuk mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menjamin penghantaran bekalan makanan asas kepada warga Palestin yang dikepung di Gaza.
ICJ mengeluarkan perintah itu pada Khamis, memandangkan kehidupan penduduk di sana yang semakin teruk dengan kebuluran dan kelaparan merebak dengan pantas berikutan sekatan Israel, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Para hakim menekankan warga Palestin di Gaza tidak lagi dalam berada dalam risiko kebuluran tetapi sudah mengalaminya dan kebuluran di sana adalah serius.
Menurut perintah ICJ, sekurang-kurangnya 31 individu termasuk 27 kanak-kanak menemui ajal kerana malnutrisi dan penyahhidratan seperti dilaporkan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Perintah mahkamah yang mengikat dari segi undang-undang itu mengarahkan Israel untuk mengambil kesemua langkah yang perlu dan berkesan bagi memastikan tiada halangan dalam penyediaan bantuan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan ubat-ubatan. Langkah ini perlu dilakukan dengan kerjasama penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Biarpun mempunyai kuasa, ICJ kekurangan mekanisme untuk menguatkuasakan perintahnya.
Langkah baharu ini hasil daripada satu permintaan Afrika Selatan, yang membawa satu kes yang mendakwa Israel melakukan genosid di Gaza. Pada Januari ICJ telah memerintahkan Israel supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang membawa kepada perbuatan genosid di bawah Konvensyen Genosid dan untuk memastikan tenteranya tidak melakukan genosid terhadap warga Palestin di Gaza.
Dalam penghakiman pada Khamis, mahkamah itu, mengingatkan lagi perintahnya pada Januari dan menambah arahan kepada Israel untuk memudah cara penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada warga Palestin di seluruh Gaza. Panel hakim mencadangkan supaya jumlah dan kapasiti pusat menyeberangi sempadan ditingkatkan dan membukanya selama yang diperlukan.
Israel telah diarahkan supaya menghantar satu laporan dalam masa sebulan menyatakan langkah diambil untuk melaksanakan perintah mahkamah itu.
Pada 29 Dis 2023, Afrika Selatan memfailkan satu saman terhadap Israel di atas penglibatannya dalam perbuatan genosid terhadap warga Palestin di Semenanjung Gaza. Saman ini mendapat sokongan daripada banyak negara, menjadi satu duluan bersejarah dalam konflik Palestin-Israel.
Afrika Selatan memberi 84 muka surat dosier komprehensif kepada mahkamah, mengumpulkan bukti Israel membunuh ribuan warga Palestin di Gaza dan mencipta keadaan "sesuai untuk kemusnahan fizikal mereka", melakukan jenayah genosid terhadap mereka.
Mahkamah mengadakan pendengaran awam pada 11 dan 12 Jan sebelum perintah sementara dikeluarkan pada 26 Jan. Bagaimanapun, ia akan memakan masa bertahun-tahun untuk mencapai penghakiman akhir kes ini.
Biarpun Israel gagal mematuhi perintah mahkamah yang mengikat kepada negara anggota dan meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, momentum antarabangsa dan diplomatik ini menjadikan pendudukan Israel lagi terasing.
-- BERNAMA
#Mahkamah Keadilan Antarabangsa #memerintahkan Israel untuk mengambil tindakan segera #penghantaran bekalan makanan asas #Gaza #perang Palestin Israel
;