ICJ akan umumkan pendapat nasihat berhubung pendudukan Israel di wilayah Palestin

Bernama
Julai 19, 2024 21:15 MYT
Presiden ICJ Hakim Nawaf Salam akan menyampaikan Pendapat Nasihat itu dalam sesi pendengaran awam yang dijadualkan berlangsung di Peace Palace di The Hague pada 3 petang. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengumumkan pendapat nasihatnya mengenai kesan perundangan pendudukan Israel di wilayah Palestin sejak 1967, hari ini.
Presiden ICJ Hakim Nawaf Salam akan menyampaikan Pendapat Nasihat itu dalam sesi pendengaran awam yang dijadualkan berlangsung di Peace Palace di The Hague pada 3 petang.
Pada 30 Disember 2022, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang meminta ICJ memberikan pendapat nasihat mengenai kesan perundangan yang timbul daripada pendudukan wilayah Palestin oleh Israel sejak 1967, bagaimana dasar dan amalan Israel mempengaruhi status undang-undang pendudukan dan apakah kesan perundangan yang timbul bagi semua negara dan PBB daripada status ini.
Mahkamah memulakan perbincangan mengenai perkara itu pada 26 Februari tahun lepas, mendengar hujah dan pembentangan selama seminggu dari Palestin dan 49 negara anggota PBB, termasuk Afrika Selatan, Malaysia, Algeria, Arab Saudi, Belanda, Bangladesh, Belize, Bolivia, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Gambia, Guyana, Hungary, China, Iran, Iraq, Ireland, Jepun, Jordan, Libya, Tunisia, Sepanyol dan Indonesia.
Tiga organisasi antarabangsa - Pertubuhan Kerjasama Islam, Kesatuan Afrika dan Liga Arab - juga mengemukakan hujah mereka, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).
Pendapat nasihat ICJ dilakukan di tengah-tengah tekanan undang-undang antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel, kuasa pendudukan berhubung pencerobohan ketenteraan yang berterusan di Gaza dan kekejaman berterusan di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
-- BERNAMA
#ICJ #Pendapat Nasihat #pendudukan Israel #Wilayah Palestin
;