Iceland namakan Perdana Menteri baharu, jalankan pilihan raya musim luruh
Agensi
April 7, 2016 09:32 MYT
April 7, 2016 09:32 MYT
Pemerintah Iceland pada Rabu menamakan Perdana Menteri yang baharu dan akan menjalankan pilihan raya pada musim luruh, selepas pemimpin tertinggi sebelumnya melepaskan jawatan itu berikutan pendedahan skandal Panama Papers.
AFP melaporkan, Parti Progresif dan Parti Kemerdekaan bersetuju selepas berunding pada lewat Rabu untuk melantik Menteri Pertanian, Sigurdur Ingi Johannssonn, 53, dari Parti Progresif.
Beliau menggantikan Sigmundur David Gunnlaugsson, 41, yang meletakkan jawatan pada Selasa berikutan protes awam besar-besaran dibuat sejurus namanya didedahkan terlibat dalam akaun luar pesisir seperti yang dibocorkan Panama Papers.
“Kami menjangkakan pilihan raya pada musim luruh ini,” ujar Johanssonn kepada wartawan, dengan menegaskan bahawa pakatan tersebut akan terus mentadbir hal ehwal negara meskipun ribuan pemprotes mendesak peletakan jawatan keseluruhan anggota kerajaan.
“Kami akan terus bekerja bersama-sama. Kami berharap ini akan membawa kepada kestabilan dalam sistem politik,” ujarnya.
Pilihan raya Iceland yang seterusnya, pada awalnya dijadualnya pada April 2017. Gunnlaugsson kekal sebagai ketua Parti Progresif buat masa ini.