ICC tolak rayuan Filipina sekat siasatan perang dadah Duterte
Bernama
Julai 19, 2023 11:30 MYT
Julai 19, 2023 11:30 MYT
ISTANBUL: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Selasa menolak rayuan Filipina terhadap siasatan mahkamah mengenai "perang melawan dadah" bekas Presiden Rodrigo Duterte.
Tiga daripada lima hakim yang bersidang mengundi menolak rayuan itu yang pada dasarnya membenarkan siasatan diteruskan, lapor Agensi Anadolu.
"Majoriti hakim mendapati Filipina gagal menunjukkan sebarang kesilapan semasa praperbicaraan," kata Hakim ICC Marc Perrin de Brichambaut yang mengetuai barisan panel hakim yang mendengar rayuan itu.
Hakim Solomy Balungi Bossa dari Uganda, Luz del Carmen Ibanez Carranza dari Peru dan Piotr Hofmanski dari Poland mengundi menolak rayuan Manila, manakala Brichambaut dari Perancis dan Hakim Gocha Lordkipanidze dari Georgia membuat keputusan bertentangan.
Bagaimanapun, mahkamah berkata keputusan itu "bukan keputusan mengenai bidang kuasa."
Pada September 2021, ICC secara rasmi membenarkan penyiasatan ke atas kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan berlaku semasa Duterte menjadi presiden, tetapi menggantung keputusan itu pada November tahun itu atas permintaan Manila, yang mengatakan ia akan menjalankan siasatannya sendiri.
Bagaimanapun, pada Januari tahun ini, ICC berkata mahkamah menyambung semula siasatannya kerana tidak berpuas hati terhadap siasatan Filipina. Manila turut merayu keputusan itu.
Beribu-ribu rakyat Filipina dibunuh oleh anggota penguatkuasa undang-undang semasa perang Duterte terhadap dadah, kebanyakannya dalam keadaan misteri.
Manila menarik diri daripada Statut Rom pada 2018, hanya beberapa minggu selepas ICC pada awalnya membenarkan siasatan terbabit, dengan Duterte mengeluarkan kenyataan mengatakan mahkamah "tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak akan memperoleh bidang kuasa" ke atasnya.
Namun, mahkamah tertinggi meneruskan kes itu berdasarkan Statut Rom yang menyatakan bahawa bidang kuasanya meliputi jenayah yang dilakukan sebelum penarikan balik perintah itu.
-- BERNAMA