ICC keluar waran tangkap terhadap Netanyahu, Gallant

Agensi
November 21, 2024 22:12 MYT
Keputusan itu juga dibuat selepas mahkamah menolak hujah Israel mengenai kekurangan bidang kuasa ke atas waran tangkap Netanyahu dan Gallant. - Reuters
MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.
Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.
Menurut pendakwaraya ICC, Karim Khan dalam satu kenyataan, waran tangkap itu dikeluarkan susulan pembabitan mereka dalam jenayah perang di Gaza dari 7 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.
Keputusan itu juga dibuat selepas mahkamah menolak hujah Israel mengenai kekurangan bidang kuasa ke atas waran tangkap Netanyahu dan Gallant.
Ujarnya, pihak ICC tidak memerlukan persetujuan dari Israel untuk melaksanakan tangkapan terhadap kedua-dua mereka.
Israel sehingga kini masih menolak keputusan pendakwaan yang dibuat oleh ICC di The Hague mengenai tindakan jenayah perang yang dilakukan di Gaza.
Israel pada masa sama yakin telah membunuh Ketua Hamas al-Masri atau dikenali sebagai Mohamad Deif dalam serangan udaranya.
Bagaimanapun Hamas tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.
#ICC #jenayah perang #Israel #Benjamin Netanyahu #Hamas #gallant
;