ICC keluar waran tangkap terhadap bekas Menteri Pertahanan Rusia
Bernama
Jun 25, 2024 22:47 MYT
Jun 25, 2024 22:47 MYT
AMSTERDAM: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Selasa mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas menteri pertahanan Rusia Sergei Shoigu dan Valery Gerasimov, ketua turus tentera semasa atas tuduhan jenayah perang di Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kedua-duanya didakwa bertanggungjawab atas "mengarah serangan" ke atas sasaran orang awam di Ukraine.
Hakim ICC mengatakan terdapat alasan yang mencukupi untuk mempercayai bahawa Shoigu dan Gerasimov memikul tanggungjawab jenayah individu, sama ada dengan mengarahkan serangan untuk dilakukan oleh orang lain atau gagal melaksanakan kawalan yang sewajarnya ke atas pasukan di bawah perintah mereka.
Secara khusus, mahkamah mendakwa Shoigu dan Gerasimov bertanggungjawab atas serangan peluru berpandu terhadap infrastruktur elektrik Ukraine sekurang-kurangnya dari 10 Okt, 2022 sehingga sekurang-kurangnya 9 Mac, 2023.
"Dalam tempoh ini, sejumlah besar serangan terhadap banyak loji janakuasa elektrik dan pencawang telah dilakukan oleh angkatan tentera Rusia di beberapa lokasi di Ukraine," kata kenyataan mahkamah itu.
Sementara itu, di Moscow, Sputnik melaporkan bahawa Majlis Keselamatan Rusia menyatakan keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Shoigu adalah tidak sah kerana antara lain bidang kuasa mahkamah itu tidak meliputi Rusia.
-- BERNAMA
#ICC
#waran tangkap
#bekas Menteri Pertahanan Rusia
#Mahkamah Jenayah Antarabangsa
#Sergei Shoigu
#Valery Gerasimov