ICC buka kertas siasatan jenayah perang Israel terhadap Palestin
Astro Awani
Mac 3, 2021 05:59 MYT
Mac 3, 2021 05:59 MYT
THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara rasmi membuka kertas siasatan berhubung jenayah perang di wilayah Palestin.
Ketua Pendakwa Raya, Fatou Bensouda memaklumkan siasatan akan tertumpu kepada dakwaan yang berlaku di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza sejak Jun 2014.
Pembukaan kertas siasatan ini susulan keputusan ICC bulan lalu yang menyaksikan ia ada bidang kuasa ke atas wilayah tersebut.
Justeru, kepada Palestin, ini adalah langkah ke hadapan untuk melaksanakan keadilan kepada penduduk Palestin.
Menurut jurucakap Hamas, Hazem Qassem, Hamas mengalu-alukan keputusan itu.
"Hamas mengalu-alukan keputusan ICC untuk membuka siasatan ke atas jenayah perang Israel terhadap rakyat Palestin.
"Kami sifatkan keputusan ini sebagai langkah ke hadapan untuk keadilan bagi penduduk Palestin," katanya.
Sehubungan itu, ICC didesak berani membuat keputusan yang adil untuk Palestin.
"Kami mendesak ICC menunjukkan keberanian sebenar dengan keputusan ini untuk menghentikan semua tekanan yang boleh menghalangnya daripada menyampaikan mesej dan meneruskan tugas mereka dengan menghukum penjajahan Israel yang telah melakukan jenayah-jenayah ini," ujarnya lagi.
Keputusan ini bagaimanapun ditentang Amerika Syarikat dan Israel.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga menuduh ICC bersikap hipokrit.