Ibu terkilan anak bunuh diri kerana tak tahan sakit gigi

Sinar Harian
Oktober 23, 2019 08:43 MYT
Inkues kematian Anthony dijalankan di Mahkamah Koroner Winchester. -Foto Sinar Harian
Seorang wanita di England melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana tidak dapat membantu anak lelakinya menjalani rawatan pergigian sehingga mendorong anaknya itu membunuh diri.
Shirley berkata, keadaannya anaknya Anthony Hoskins, 38, mula merosot selepas dia mengadu sakit gigi yang teruk pada Januari lalu dan mula mengambil ubat penahan sakit dengan jumlah yang banyak.
Sebagai usaha untuk membantunya, dia mula menjimatkan wang supaya anaknya dapat menerima rawatan yang menelan kos kira-kira 1,500 pound (RM8137.7).
Menurut Shirley, dia memberitahu anaknya itu hanya perlu menunggu beberapa minggu sahaja lagi bagi memastikan wang yang dikumpul itu mencukupi kerana telah berjaya mengumpul 900 pound (RM4882.6).
"Namun perkara yang sangat menyedihkan ialah jumlah wang bagi rawatan pergigian swasta itu hampir cukup," kata isteri diplomat yang ditemu bual penyiasat British dalam inkues kematian lelaki tersebut di Mahkamah Koroner Winchester.
Anthony Hoskins ditemui mati di flat di Thornhill, Southampton, oleh pegawai polis pada 3 April lalu.
Kongsi Shirley lagi, Anthony suka bermain permainan komputer dan tidak mempunyai masalah kewangan.
Menurutnya, sewa rumahnya sentiasa dibayar, bersama-sama dengan utiliti lain, dan dia akan datang melawat pada setiap minggu.
Selepas tidak mendengar khabar dari anaknya itu selama beberapa hari, Shirley menghubungi polis yang terpaksa masuk melalui tingkat atas sebelum menemui anaknya yang meninggal dipercayai membunuh diri.
Sementara itu, Dr Gabriella Day, dari Burgess Road Surgery, berkata Hoskins terakhir membuat rawatan pada Ogos 2018 dengan aduan sakit gigi.
Ahli patologi Dr Eleanor Jaynes melakukan bedah siasat dan mendapati punca kematian mangsa kerana jerutan akibat tergantung dan Koroner kawasan, Samantha Marsh mencatatkan ia sebagai kes bunuh diri. - Agensi
#Anthony Hoskins #bunuh diri #Gabriella Day #masalah kewangan #rawatan pergigian #sakit gigi #ubat penahan sakit
;