Ibu racun anak dengan garam dipenjara 20 tahun
AFP
April 9, 2015 14:21 MYT
April 9, 2015 14:21 MYT
Seorang ibu berusia 27 tahun dari New York dipenjara 20 tahun setelah didapati bersalah meracun anaknya dengan garam.
Hakim Robert Neary pada Rabu berkata walaupun tertuduh Lacey Spears mendakwa menghidap penyakit mental yang dikenali sebagai Munchausen by proxy, dia tetap didapati bersalah atas jenayah "kekejaman yang tidak terduga."
Lacey yang berasal dari Scottsville, Kentucky sebelum ini pernah disabitkan bersalah atas pembunuhan susulan berikutan kematian anaknya, Garnett-Paul Spears, bulan lepas.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bagaimana Lacey meracun anaknya dengan beberapa dos garam berlebihan melalui tiub, hanya untuk meraih perhatian terhadapnya.
Hakim Robert berkata anak Lacey telah mengalami “lima tahun penyeksaan dan kesakitan.”
“Mana-mana individu tidak perlu menjadi pakar psikatri untuk menyedari anda mengalami penyakit Munchausen by proxy,” kata Hakim Robert yang menolak permintaan pendakwa raya untuk melanjutkan tahanan Lacey kepada 25 tahun.
Munchausen by proxy adalah satu penyakit di mana ibu bapa atau penjaga dengan sengaja mengakibatkan kecederaan fizikal dan masalah kesihatan kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Peguam Daerah Janet DiFiore berkata anak lelaki Lacey menjalani “rawatan hospital berulang kali, prosedur pembedahan yang tidak diperlukan dan akhirnya diracuni dengan garam yang dilakukan orang yang sepatutnya menjaganya, iaitu ibunya.”
“Menggunakan penyakit yang dialami anaknya untuk meraih simpati dan perhatian terhadap dirinya. Tindakannya itu akhirnya membawa padah setelah anaknya diseksa hingga mati,” kata Janet.