Ibu negara baharu Indonesia: Ketua penguasa setaraf menteri, pembangunan seiring teknologi

Agensi
Januari 14, 2022 04:31 MYT
Berkenaan hal pembangunan bandar, ibu kota baharu itu direka tanpa terpisah dengan idea dan potensi kemajuan teknologi. - Instagram/@jokowi
JAKARTA: Kerja pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur terus giat dijalankan.
Seiring perkembangan itu, pemerintah terus memperbaiki konsep, memperinci perancangan bandar dan menggubal dasar undang-undang di kota itu, lapor portal berita Kompas.
Mengikut perancangan, konsep pemerintah daerah khas akan diterapkan, maka kota pentadbiran baharu itu akan berada di bawah pimpinan seorang ketua penguasa yang setaraf menteri.
Itu bermakna, jawatan pentadbir kota tersebut adalah sama tarafnya dengan pemimpin di setiap wilayah besar atau provinsi.
Bagaimanapun, tiada undian atau pilihan raya akan dilakukan untuk memilih calon yang menyandangnya. Jawatan dengan penggal perkhidmatan selama lima tahun itu bakal dilantik secara langsung oleh Presiden Indonesia.
Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional (PPN) Suharso Monoarfa berkata, konsep itu tidak melanggar undang-undang dasar Indonesia yang menyatakan, ‘negara mengakui dan menghormati pemerintahan daerah yang bersifat khusus atau istimewa, yang berpandukan undang-undang’.
Berkenaan hal pembangunan bandar, ibu kota baharu itu direka tanpa terpisah dengan idea dan potensi kemajuan teknologi.
Dalam reka bentuk kota yang bersifat holistik. penyediaan infrastruktur gentian optik tidak hanya bersandarkan pada keperluan era 4.0 atau 5.0 malah akan sedia menyokong ke arah masa depan sehingga 7.0
Sementara itu, rang undang-undang (RUU) yang bakal diguna pakai di ibu negara baharu dijangka dapat diluluskan pada Selasa depan (18 Januari).
#ibu negara baharu #Indonesia #penajam paser utara #pembangunan