Ibu muda India miliki 38 gigi, pecah rekod dunia
Sinar Harian
November 22, 2023 09:30 MYT
November 22, 2023 09:30 MYT
NEW DELHI: Seorang wanita berusia 26 tahun mempunyai 38 batang gigi, berjaya mencipta rekod baharu Guinness World Record (GWS).
Ketika ini, Kalpana Balan mencipta rekod gigi paling banyak dalam kalangan wanita.
Menurut GWS, ibu kepada seorang anak mempunyai empat gigi tambahan pada rahang bawah dan dua gigi tambahan pada rahang atas.
Semasa zaman remaja, gigi Kalpana dikatakan tumbuh secara beransur-ansur.
Walaupun tidak mengalami sebarang kesakitan, dia mengalami masalah apabila makanan sering terperangkap di celah gigi tambahan itu.
Apabila ibu-bapanya menyedari masalah dihadapi Kalpana, mereka mencadangkan supaya di berjumpa doktor dan mencabut giginya.
Bagaimanapun, doktor tersebut mencadangkan dia menunggu sehingga giginya tumbuh sehingga habis.
Justeru, Kalpana membuat keputusan mengekalkan gigi tambahannya selain takut untuk mencabutnya sehingga kini.
"Saya sangat gembira mendapat rekod Guinness World Record.
"Ia adalah pencapaian terbaik seumur hidup," katanya.
Difahamkan, Kalpana sedang menunggu dua lagi giginya yang mungkin tumbuh selepas mendapati terdapat 'ruang' di rahangnya itu.
Sebelum ini, pemegang rekod gigi terbanyak dimiliki Evano Mellone dari Kanada yang mempunyai 41 batang gigi.
Istilah perubatan untuk gigi tambahan disebut hyperdontia.
Difahamkan terdapat 3.8 peratus penduduk di dunia mempunyai satu gigi tambahan. - Sinar Harian memetik agensi