Ibu maut minum air kencing sendiri demi selamatkan anak-anak
Astro Awani
September 21, 2021 09:50 MYT
September 21, 2021 09:50 MYT
SEORANG ibu maut selepas terpaksa minum air kencingnya sendiri bagi membolehkannya menyusukan anak-anaknya selepas bot yang dinaiki mereka karam.
Mariely Chacón, 40, dari Venezuela, menaiki bot pada 3 September bersama dua anaknya berusia enam dan dua tahun, suami dan pengasuh dari Higuerote ke Pulau Tortuga di Caribbean ketika ombak besar memukul bot berkenaan, lapor Newsweek.
Chacón dan dua anaknya sempat berpaut pada bot penyelamat dan hanyut selama empat hari sebelum ditemui pasukan penyelamat.
Namun semasa ditemui, hanya dua kanak-kanak berkenaan, Jose David dan Maria Beatriz Camblor Chacon, dan pengasuh mereka, Verónica Martinez, 25, yang ditemui selamat.
Kedua-duanya sedang berpaut pada mayat ibu mereka, dan Martinez pula mengalami dehidrasi dan luka melecur tahap pertama, lapor The Sun.
Lima mangsa lain, termasuk suami Chacón, Remis David Camblor, belum ditemui.
Chacón mengalami kegagalan organ akibat dehidrasi, yang mungkin terjadi kerana dia menyusukan anak, kata sumber perubatan forensik kepada La República.
"Ibu itu meninggal dunia tiga atau empat jam sebelum diselamatkan, dan menyelamatkan anak-anaknya dengan menyusukan mereka serta minum air kencingnya sendiri," kata seorang jurucakap Lembaga Maritim Nasional Venezuela (INEA).
Usaha mencari mangsa lain masih diteruskan namun harapan untuk menemui mereka sangat tipis, kata pihak berkuasa.